Komplikasi Ibu Hamil Berpuasa


Wanita hamil yang juga penghidap kencing manis, darah tinggi, sakit buah pinggang atau penyakit yang berisiko perlu mendapatkan pemeriksaan doktor sebelum mengambil keputusan berpuasa sepanjang Ramadan ini.

Pakar Sakit Puan Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Dr Patricia Lim Su-Lyn, berkata sekiranya ibu mengandung tidak berhadapan kompilasi mereka boleh berbuat demikian tanpa bimbang memberi kesan kepada kandungannya.

Katanya, sama ada tahap kesihatan baik ataupun tidak, penjagaan makanan dan minuman penting supaya janin dalam kandungan mendapat nutrisi secukupnya.

"Air penting dalam tubuh. Wanita hamil perlu memastikan minum air kosong mencukupi ketika sahur dan berbuka serta elakkan minuman berkafien.

"Dalam keadaan ini wanita mengalami kehilangan air dengan cepat melalui air kencing manakala kafien dikesan menghalang penyerapan zat besi dalam tubuh," katanya ketika dihubungi, baru-baru ini.

Banyak minum air

Dr Patricia berkata, ibu mengandung perlu mendapatkan sajian makanan berkhasiat untuk membekal tenaga sepanjang hari.

Berbuka puasa dengan makanan seimbang mengandungi protein, sajian buah-buahan, kurma dan serat seperti granola atau bijirin antara keperluan penting untuk mereka.

"Pergerakan dan penghadaman sajian seperti itu lebih lambat dan memberikan tenaga mencukupi sepanjang hari.

"Jangan mengunyah makanan terlalu laju, sebaiknya makan perahan-lahan, elak masalah penghadaman," katanya.

Beliau berkata, bagi menjimatkan tenaga, ibu hamil tidak digalak membuat kerja memenatkan seperti bersenam dan kerja pembersihan rumah, sebaliknya tugas ringan.

Katanya, jika ada tanda pening, sakit kepala, pitam atau sakit perut mereka seharusnya berjumpa doktor untuk membuat pemeriksaan segera bagi mengelak sebarang masalah.

"Sekiranya kandungan kurang aktif atau tiada pergerakan, ibu perlu bertindak pantas berjumpa pakar sakit puan untuk mendapatkan pengesahan lanjut," katanya.

Panduan ibu hamil:

* Sediakan makanan berkhasiat untuk bersahur dan berbuka puasa

* Memasak lebih sajian

* Simpan makanan di peti beku ais untuk menjimatkan dan mengurangkan masa memasak pada Ramadan.

* Ambil vitamin disyorkan doktor.

* Cukup rehat dan tidur.

* Elak buat kerja berat

Makanan yang sesuai untuk ibu hamil

1) Buah-buahan dan sayur-sayuran

Anda boleh membelinya dalam bentuk segar, sejuk-beku, dalam tin, kering atau sebagai jus.

* Sasarkan makan lima hidangan sehari.

2) Makanan berkanji

Nasi, roti, pasta, kentang atau bijirin penuh.

3) Makanan kaya protein

Daging dan ayam tanpa lemak, ikan, telur dan kekacang.

* Sasarkan dua hidangan ikan seminggu termasuk ikan berminyak.

4) Produk tenusu

Susu, keju dan yogurt yang kaya dengan kalsium.

Antara makanan lain:

* Madu lebah - memiliki semua khasiat yang diperlukan badan manusia seperti enzim, vitamin, mineral, air dan pinocembrin.

Membantu meningkatkan fungsi otak dan melawan radikal bebas yang boleh merosakkan sel selain mencegah kanser

* Kismis

Kaya pelbagai vitamin, riboflavin dan folat.

Membantu mengurangkan tekanan, melancarkan peredaran darah, tambah darah merah, kesihatan jantung dan baik untuk otak.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com