Kisah Anak Cucu Nik Aziz 'Tambah Perisa' PRU14


SHAH ALAM - Meskipun kedua-dua ayah mereka memilih haluan berbeza pada PRU14 ini, namun kasih sayang keluarga tetap utuh terjalin seperti selalu.

Itulah dizahirkan oleh anak Nik Omar dan juga anak Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Menerusi perkongsian di Facebook, kedua-dua anak tokoh politik Kelantan itu, berkongsi gambar makan bersama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

"Hai buat apa tu semua, anak ustaz Nik Omar dan anak ustaz Nik Abduh nak makan jap," kongsi Nik Ahmad Muhajir Nik Omar.

Seperti diketahui umum, kedua-dua ayah mereka memilih untuk berentap pada laluan berbeza di mana Nik Omar memilih untuk mewakili Amanah (Harapan) yang akan bertanding di kerusi Chempaka sementara Nik Abduh di kerusi Bachok mewakili Pas.

Kedua-dua anak Allahyarham Nik Abdul Aziz itu bakal mencoretkan lagi satu kisah menarik pada PRU14 ini.

Sebelum ini, Nik Ahmad Muhajir berkongsi perasaannya selepas ayahnya Nik Omar mengambil keputusan untuk bertanding mewakili Harapan di Kelantan.

Katanya, tempias politik diterima sangat hebat, termasuklah kecaman daripada pihak tertentu.

"Hebat juga ya tempias politik. Bukan biasa-biasa. Nak join politik hati kena kuat. Semangat kena jitu. Kalau lemah memang rebah sahaja begitu.

"Terima kasih buat sahabat-sahabat yang tak henti menyokong dan memberi kata semangat saat aku dihentam dan dikecam," katanya.

Jelasnya, pelbagai cakap-cakap timbul, selepas penyertaan ayahnya dalam Harapan.

"'Bakpo ayah mu jadi gtu', 'bakpo ayah mu pan', 'bodo ayah mu', 'anak derhaka', 'bohh mu lapa nak jadi MB ko.'"

"Dan pelbagai lagi sajian kuih muih berbentuk cacian untuk sarapan pagi ini. Nikmatinya dengan tenang," katanya.

Namun, katanya sebagai anak beliau tetap mendoakan yang terbaik buat ayahnya.

"Apa jua wadah yang dipilih ayah moga tetap mendapat berkat dan rahmat daripadaNya, Amin," katanya.

Sumber: Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com