KFA Tangguh Daftar Rangel


ALOR SETAR - Hasrat Kedah untuk menggunakan khidmat penyerang sensasi Paulo Rangel dalam aksi Liga Super terpaksa ditangguhkan kerana dikhabarkan kelab yang diwakilinya di Thailand, Nakhon Ratchasima FC hanya akan 'melepaskan' Rangel selepas 27 Mei ini.

Menurut sumber dalaman Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), hasrat menandatangani pemain berkenaan tergendala seketika apabila kelab yang kini diwakilinya mahu dia terus beraksi pada perlawanan terakhir, 26 Mei ini sebelum melepaskannya kepada Kedah.

"Tempoh lanjutan ini meresahkan Kedah kerana kita tahu tempoh perpindahan akan ditutup pada 3 Jun depan dan pelepasan di saat akhir (selepas 27 Mei) nanti boleh mengundang risiko daripada segi tempoh masa pendaftaran di pihak kita," kata sumber berkenaan. 

"Kita difahamkan tempoh liga untuk pusingan pertama di Thailand adalah sehingga hujung bulan ini dan di pihak kita pula terpaksa mengejar masa kerana proses pendaftaran pemain pada jendela perpindahan di Malaysia akan tamat pada 3 Jun." 

Menurutnya, pihak KFA diifahamkan kelab di Thailand itu mahu Rangel membantu mereka buat kali terakhir menentang Chiangrai United Sabtu ini.

KFA tidak menghadapi masalah dengan Rangel yang sudah bersedia untuk menyertai Kedah namun mereka khuatir tempoh pelepasan lewat oleh kelab di Thailand itu menyebabkan pendaftaran Rangel terganggu.

KFA sudah menyediakan dokumentasi dan kontrak untuk Rangel yang sepatutnya tiba pada 20 Mei, namun kini proses itu terpaksa ditangguhkan.

"Kita juga terpaksa bersedia dengan beberapa calon lain yang ada dalam perancangan kita sebelum ini dalam menghadapi apa saja kemungkinan yang bakal diputuskan nanti.

"Saya berharap penyokong faham keadaan situasi dimana kita menerima pemain (Rangel) yang berminat untuk menyertai pasukan kita tetapi pada masa yang sama beliau masih terikat kontrak dengan pasukan lain.

"Walau bagaimanapun kita masih menunggu 'lampu hijau' dari kelab berkenaan dan sebarang perkembangan lanjut akan kita maklumkan secepat mungkin." katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com