Ketua AMK Pulau Pinang, 100 Ahli Keluar Parti


BUTTERWORTH - Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Asrol Sani Abd Razak mengumumkan keluar parti itu bersama lebih 100 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari Bagan, Permatang Pauh, Bukit Mertajam, Kepala Batas dan Tasik Gelugor.

Beliau mengambil keputusan itu selepas mendapati kepimpinan PKR negeri menjadi kuda tunggangan parti lain dalam pakatan pembangkang sehingga menyingkirkan keputusan akar umbi parti.

"Saya marah kepada Pengerusi PKR negeri, Datuk Mansor Othman yang terlalu mengikut jari telunjuk parti lain terutama DAP.

"Kami di akar umbi terutamanya golongan belia sememangnya kecewa dengan pimpinan negeri yang ternyata sudah lari daripada perjuangan sebenar yang dibawa Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya pada sidang media di Teluk Air Tawar.

Asrol berkata, dia tidak mendapat bayaran atau imbuhan daripada sesiapa ketika mengambil keputusan keluar parti dan sekiranya ada pihak membuat dakwaan itu, mereka diminta membuktikannya.

"Ahli di peringkat akar umbi berasa lebih daripada dianaktirikan apabila pimpinan menjadi terlalu takut dengan parti lain di dalam pakatan pembangkang.

"PKR parti yang kuat dan di Pulau Pinang kita adalah kerajaan bersama dan bukan pengikut," katanya.

Mengambil contoh bagaimana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bertam diserahkan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), beliau berkata kerusi itu secara tradisi ditandingi PKR sebelum ini.

Asrol turut mendakwa, masih ramai lagi ahli PKR yang kecewa dengan parti dan akan mengambil tindakan keluar parti sama seperti mereka.

Beliau adalah Ketua AMK sejak 2013 sehingga kini menggantikan Dr Afif Bahardin yang juga calon PKR bagi (DUN) Seberang Jaya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com