Kes Tetak Polis Di Kulim: Lima Suspek Ditahan


KULIM - Polis berjaya memberkas lima suspek warga tempatan termasuk seorang perempuan berhubung kes serang dan tetak seorang anggota polis di Taman Desa Aman, Sungai Karangan pada 15 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata pasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Kedah dan Perak telah menjalankan siasatan di kawasan Kulim, Sungai Petani dan Pengkalan Hulu.

Menurutnya, hasil siasatan yang telah dijalankan polis berjaya menahan suspek pertama pada 16 Mei kira-kira jam 11 malam di Taman Sentosa, Pengkalan Hulu, Perak.

"Hasil soal siasat suspek pertama polis berjaya mengesan seorang lagi suspek di Nilai, Negeri Sembilan dan telah diberkas pada 17 Mei kira-kira jam 9  pagi.

"Dua lagi suspek berjaya di kesan berada di Pengkalan Hulu, Perak dan ditangkap pada jam 11.15 pagi selepas dua jam suspek kedua ditangkap, seterusnya seorang lagi suspek yang juga seorang perempuan berjaya ditahan di Sungai Petani,"katanya.

Katanya, polis juga berjaya merampas beberapa jenis barang termasuk telefon pintar pelbagai jenis, sebilah pisau, dan sebuah kereta untuk membantu siasatan.

Tambahnya, kesemua suspek yang ditahan adalah berusia antara 18 hingga 27 tahun dan berasal di Pengkalan Hulu, Perak serta Kuala Ketil, Kedah.

"Mengikut rekod jenayah lampau mendapati dua daripada mereka mempunyai kesalahan jenayah dan narkotik. Kesemua suspek di tahan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com