Kerajaan Akan Ganti Peguam Negara - Dr Mahathir


KUALA LUMPUR - Kerajaan akan menggantikan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dengan individu lain bagi menjalankan tugas sebagai Penasihat Undang-Undang Kerajaan dan Pendakwa Raya.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, turut menyatakan kerajaan di bawah pimpinannya yang baharu dibentuk ini, tidak mempunyai Peguam Negara.

Beliau berkata, keputusan untuk menggantikan Peguam Negara sedia ada dibuat bagi membolehkan Apandi disiasat terhadap keputusannya yang disifatkan beliau sebagai salah, terutama berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Kami sudah meletakkan beberapa sekatan terhadap beberapa orang yang mungkin terbabit dalam salah laku atau membuat keputusan yang salah, jadi pada masa ini kami tidak mempunyai Peguam Negara.

"Kami menimbangkan nama (lain ganti Peguam Negara sedia ada), tetapi kita perlu mengkaji kesesuaian calon, kita tidak boleh membuat keputusan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai mengadakan mesyuarat khas berkaitan pembentukan Kabinet, di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Wisma Yayasan Selangor, di sini semalam.

Hadir sama, pimpinan tertinggi Pakatan Harapan antaranya Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu serta Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah.

Dibawah Perlembagaan Persekutuan, kedudukan, peranan dan kuasa Peguam Negara adalah termaktub dalam Perkara 145.

Peguam Negara adalah Penasihat Undang-Undang utama kepada kerajaan, selain bertindak sebagai Pendakwa Raya.

Pelantikannya oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan beliau mestilah terdiri daripada individu yang mempunyai kelayakan untuk menjadi seorang Hakim Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu, di Putrajaya, Apandi enggan mengulas kenyataan terbaharu Dr Mahathir mengenai kedudukannya.

"It is better not to comment. Thank you (Adalah lebih baik tidak memberi ulasan. Terima Kasih)," jawapan ringkas Mohamed Apandi menerusi aplikasi WhatsApp semalam.

Terdahulu, media melaporkan dengan memetik Apandi sebagai berkata, bahawa beliau tidak akan meletakkan jawatannya sebagai Peguam Negara, berikutan jawatan disandangnya itu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Saya tidak akan letak jawatan yang mana jawatan ini telah diperkenan oleh Agong. Saya diasuh untuk sentiasa menjunjung titah Raja. Kerana saya adalah seorang Melayu jati," katanya seperti dipetik media.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com