Keputusan PRU-14 Langkawi Seawal Jam 9 Malam


LANGKAWI - Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bagi Parlimen Langkawi dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hangat serta Kuah dijangka diumumkan seawal jam 9 malam ini.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Langkawi, Muhamad Arof Darus, berkata proses pengiraan undi akan berlangsung di Dewan Badminton Kompleks Sukan Langkawi.

Beliau berkata, sebanyak 25 pusat mengundi dibuka di seluruh pulau ini bagi proses mengundi membabitkan 42,697 pengundi, hari ini.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 21,297 adalah pengundi untuk DUN Ayer Hangat, manakala bagi DUN Kuah pula membabitkan seramai 21,400 pengundi menunaikan tanggung jawab masing-masing.

"Semua pusat pengundian dibuka mulai jam 8 pagi hingga 5 petang," ketika dihubungi di sini, semalam

Parlimen Langkawi menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Tun Dr Mahathir Mohamad daripada PKR, Datuk Nawawi Ahmad (BN) dan Zubir Ahmad (PAS).

Di DUN Ayer Hangat, penyandang, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid (BN) dicabar Johari Bulat (PKR) dan Azlina Azinan (PAS).

Nor Saidi Nanyan selaku penyandang bagi kerusi DUN Kuah pula berdepan saingan empat penjuru yang turut disertai Mohd Firdaus Ahmad (PKR), Mazlan Ahmad (PAS) dan Muhamad Ratu Mansor (Bebas).

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com