Kena Fitnah Baru Nak Sokong Akta Antiberita Tidak Benar


KUBANG PASU - Pakatan pembangkang akhirnya mengakui bahawa Akta Antiberita Tidak Benar 2018 mampu menjaga keharmonian dan melindungi nama mereka yang difitnah pihak tidak bertanggungjawab.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd Johari Baharum, berkata akta terbabit kini sudah difahami semua lapisan rakyat terutama pakatan pembangkang biarpun baru sahaja dikuatkuasa.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, biarpun kerajaan ditentang kerana dituduh cuba menyekat kebebasan bersuara, tetapi apabila ada dalam kalangan pakatan pembangkang difitnah maka akta terbabit dijadikan sandaran mereka.

"Kerajaan menguatkuasa akta terbabit bukan suka-suka, tetapi mahu memastikan kemakmuran dan keharmonian semua pihak terpelihara, manakala fitnah tidak berleluasa. Jika berita terbabit benar, ia tiada masalah tetapi jika sebaliknya, itulah yang bahaya.

"Sekiranya berita itu menguntungkan pakatan pembangkang tidak kisah, tetapi jika fitnah tercalit pada mereka, barulah mahu sedar... terkena batang hidung sendiri, barulah mahu menyokong," katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Padang Serai, Khairul Anuar Ramli, yang membuat laporan polis selepas mendakwa dirinya menjadi mangsa penyebaran berita palsu, kelmarin.

Khairul Anuar menggesa pihak polis menggunakan Akta Antiberita Tidak Benar 2018 untuk menyiasat dakwaan yang menuduh beliau menerima RM20,000 supaya tidak mendedahkan rahsia ketua kepemimpinan parti pembangkang kepada umum.

Laporan polis berhubung perkara itu dibuat di Balai Polis Kulim, dekat sini, mengatakan tuduhan yang dibuat terhadapnya itu sebagai fitnah.

Mengikut Akta Antiberita Tidak benar 2018, sesiapa yang didapati bersalah mengeluarkan dan menyebar berita palsu boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com