Kempen Mahathir Hanyalah Kempen Kutuk, Hina Najib Razak


Hanya satu yang nampak: Najib. Ini mungkin mimpi ngeri Dr Mahathir yang menghantui beliau sekarang ini. Apakah ini tidak jelas lagi?

Oleh Jasni Abbas

Kempen semakin sengkit. Semakin hampir masa pengundian semakin panas ceramah dan media. Media alternatif membawa berita panas.

Masing-masing melaporkan mengenai ceramah dan pendedahan-pendedahan dengan harapan ini dapat meraih undi. Media-media sosial juga hebat dalam menayangkan ceramah-ceramah politik yang ada. Bagi yang mencabar – jalan ceritanya adalah menyelamatkan Malaysia. Bagi yang bertahan – menyajikan rekod-rekod kemajuan dan pembangunan. Terpulang kepada kita sebagai rakyat untuk menilai dan memilih siapa yang mahu diangkat menjadi kerajaan.

Namun melayari media hari ini, penumpuan yang nampak ketara adalah nama Tun Dr Mahathir Mohamad. Layari media-media pembangkang dan siaran berita ringkas, video ceramah yang dipamerkan kebanyakan memaparkan sekitar Dr Mahathir. Bekas perdana menteri ini sudah menjadi lebih popular dari biasa dengan kehadiran di ceramah-ceramah kempen dengan satu bentuk topik: Menggelar Datuk Seri Najib Razak pencuri, perompak dan penyamun. Tidak ada isu besar yang dibawa melainkan gelaran-gelaran.

Isu besar seperti 1MDB yang dilaporkan sebagai asas tuduhan tersebut hari ini tersenyap dengan penerangan demi penerangan oleh presiden 1MDB sendiri. Sungguhpun banyak kenyataan yang dikeluarkan mengenai 1MDB khususnya oleh Arul Kanda Kandasamy, namun ia hanya dijawab dengan perompak, penipu dan pencuri – satu tuduhan semata-mata.

Baru-baru ini dimaklumkan oleh presiden 1MDB bahawa tuduhan sebelum ini iaitu pembayaran balik hutang 1MDB adalah melalui kutipan GST tidak berasas dan tidak benar. Tidak ada duit GST digunakan untuk tujuan itu. Semua tidak menjawab semula dengan bantahan fakta. Mereka tetap dengan harapan menuduh Najib pencuri, perompak dan penyamun dapat meraih undi.

Ini bukan sebarang tuduhan. Kita layari media internet, video yang dibuat dan ditayangkan, khususnya ceramah Dr Mahathir, tidak lain hanyalah tuduhan-tuduhan yang serupa. Lawak dalam ceramah pula tidak ubah seperti meniru-niru Mohamad Sabu.

Apa yang jelas ialah pembangkang meletakkan Dr Mahathir sebagai ikon PRU14 mereka dan Dr Mahathir hanya ada skrip yang sama iaitu mengenai Najib. Kalau ada pun yang lain setakat ini adalah tuduhan Umno dan kerajaan sudah rosak kerana Najib. Itulah sebenarnya tugas penting Dr Mahathir – menebus maruahnya kerana gagal menjatuhkan Najib. Marahnya perlu diredakan dengan menjatuhkan Najib.

Mungkin kita perlu teliti dengan jelas mengenai Dr Mahathir dan kempennya. Ikuti video-video terbitan pembangkang. Hanya satu yang nampak: Najib. Ini mungkin mimpi ngeri Dr Mahathir yang menghantui beliau sekarang ini. Apakah ini tidak jelas lagi?

Ia bukan kerana “Selamatkan Malaysia”. Ini hanya marah dan dendam politik kerana gagal mengikat Najib bawah telunjuk Dr Mahathir.

Jasni Abbas adalah pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com