Kemenangan BN 3-0 Di Sik Perlu Dikekalkan


SIK – Banyak perubahan yang berlaku di daerah Sik membabitkan ketiga-tiga kerusi iaitu Parlimen Sik, Dewan Undangan Negeri (DUN) Belantek dan DUN Jeneri sejak kemenangan 3-0 Barisan Nasional (BN) di situ pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Seorang penduduk, Mohd Shahrizal Ahmad, 35, berkata selain kemudahan asas seperti pemasangan lebih banyak lampu jalan kampung, beberapa kemudahan lain yang semakin bertambah, ternyata memudahkan urusan penduduk.

“Antaranya dari aspek pendididikan, pembukaan satu lagi sekolah menengah dan sekolah rendah di Batu 8 dekat sini bagi menampung pertambahan bilangan murid, telah menyediakan ruang belajar yang lebih selesa.

“Lebih membanggakan apabila Sik kini mempunyai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sendiri, yang mana sebagai seorang bapa saya lihat ia bukan sahaja memanfaatkan golongan pendidik, malah membantu dari segi penambahbaikan sistem pendidikan untuk kecemerlangan anak-anak di daerah ini,” katanya.

Sementara itu, warga emas, Robiah Abdullah, 70, pula berkata pembangunan yang dilaksanakan kerajaan sedia ada di bawah BN ternyata banyak membantu rakyat berpendapatan rendah khususnya golongan warga emas sepertinya.

“Selain tambahan dalam pemberian BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) yang diumumkan kerajaan pusat, penduduk Sik yang banyak bergantung kepada hasil getah, terus mendapat manfaat menerusi bantuan getah walaupun harga komiditi itu jatuh bawah paras RM2 sekilogram.

“Tidak dinafikan banyak lagi penambahbaikan dan pembangunan yang perlu dibuat di Sik, untuk warga emas seperti saya serta generasi muda, namun apa yang ada kini jauh berbeza dengan lima tahun sebelumnya, jika dikekalkan kemenangan 3-0 di Sik, saya yakin pembangunannya akan diteruskan untuk manfaat penduduk,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 9 Mei ini bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru bagi ketiga-tiga kerusi yang dipertandingkan, yang mana penyandang sedia ada kerusi Parlimen Sik Dr Mansor Abd Rahman (BN) akan ditentang calon PAS Ahmad Tarmizi Sulaiman dan Azli Che Uda (PKR).

Bagi DUN Belantek pula, Datuk Mohd Tajuddin Abdullah selaku penyandang dengan majoriti 842 undi mengalahkan calon Pas Abu Bakar Bakilani Abu Hassan pada PRU13, berdepan dua saingan iaitu bekas ADUN Belantek Mad Isa Shafie (PAS) dan bekas guru Abdul Rashid Abdullah (PKR).

di DUN Jeneri, penyandang sedia ada daripada BN Mahadzir Abdul Hamid yang mengalahkan calon PascAhmad Tarmizi Sulaiman dengan majoriti 2,060 undi sebelum ini, turut dipilih semula sebagai calon dan akan ditentang Muhd Sanusi Md Nor (Pas) dan seorang kontraktorcMohd Nazri Abu Hassan (PKR).

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Selamat, Shahidan Abdullah Hamad berkata barisan calon yang diketengahkan PAS terdiri daripada calon yang pernah bertanding sebelum ini dan dilihat mempunyai peluang tipis manakala Pakatan Harapan pula dibarisi muka baharu.

“Kawasan ini pernah ditadbir PAS yang ternyata tidak banyak membawa pembangunan di sini, namun satu risiko besar sekiranya penduduk Sik memilih calon PKR memandangkan mereka tidak berpengalaman walaupun seorang daripadanya merupakan anak kepada bekas Anggota Parlimen Sik.

“Pada pandangan saya, walaupun ditabur dengan pelbagai janji manis, PKR belum tentu dapat menunaikan janji mereka jika menang kerana banyak yang perlu diselesaikan bersama parti gabungan, sebaliknya BN boleh terus melaksanakan pembangunan yang diatur sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata pencapaian Sik sejak lima tahun lalu memang tidak dapat disangkal lagi, antaranya jalan yang menghubungkan Merbau Kudung, Batu 5 dengan Felda Teloi Timur serta pembinaan Dewan Al-Hanna dan Kompleks Sukan Daerah Sik yang menjadi mercu tanda pembangunan di Sik.

“Begitu juga Briged Sukarelawan 1Malaysia daerah Sik kendalian Mahadzir, yang terkenal dengan kerja-kerja kebajikan khususnya mereka yang ditimpa musibah dan bencana alam, rugi andai kerancakan pembangunan di Sik terhenti,” katanya. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com