Kedah Perlu Tambah Sengat, Cari Pemain Import Berkualiti Ganti Alvaro Silva


KUALA LUMPUR - Kedah perlu memperkemaskan kubu pertahanannya dengan mencari pemain import lebih berkualiti bagi menggantikan Alvaro Silva apabila pintu perpindahan kedua dibuka tidak lama lagi.

Bekas pemain kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli berkata, kerapuhan benteng pertahanan jelas menjadi masalah utama pasukan itu apabila kerap dibolosi yang membawa kepada kekalahan atau seri.

Terbaru, pasukan bimbingan Nidzam Adzha Yusoff itu sekali lagi dikecewakan dengan kelemahan barisan pertahanan apabila Negeri Sembilan mampu mencapai keputusan seri 3-3 walaupun Kedah sudah selesa mendahului 3-1.

Malah, kelemahan itu amat ketara apabila gawang Kedah dibolosi 16 kali dalam lapan perlawanan liga setakat ini, berkongsi kedudukan dengan Negeri Sembilan sebagai pasukan kedua paling banyak melepaskan gol.

Selangor mengungguli kategori itu dengan dibolosi 18 gol sambil Johor Darul Ta'zim kekal sebagai pasukan paling ampuh apabila sekadar melepaskan tiga gol.

"Alvaro tidak mencapai kualiti yang Kedah perlukan sebagaimana ditunjukkan oleh beberapa pertahanan import sebelum ini seperti Zac (Anderson) dan Bang (Seung Hwan).

"Walaupun lasak namun Alvaro tidak bijak membaca permainan serta mudah diatasi lawan. Di samping itu, dia gagal membina persefahaman dengan rakan di bahagian pertahanan," katanya.

Menurut Akmal, pada ketika tumpuan kini lebih terarah untuk mencari pengganti Pablo Pallares, skuad Helang Merah itu tidak seharusnya lupa kepada kepincangan di bahagian pertahanan.

"Bagi saya, mencari pengganti Pablo itu sudah pasti tapi kalau Nidzam mempunyai pilihan yang lebih bagus pada perpindahan kedua nanti, saya rasa elok beliau turut menggantikan Alvaro dengan import baru.

"Namun, kalau gagal mendapat pengganti Alvaro, beliau perlu mencari jalan untuk menangani masalah ini dengan segera. Jika situasi ini berterusan, sukar untuk Kedah memperbaiki kedudukan dalam liga serta menghadapi Piala Malaysia kelak," ujar Akmal.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com