Kedah Musnah Impian Selangor


KUALA LUMPUR - Impian Selangor untuk meraih kemenangan pertama bagi aksi di bulan Ramadan musnah selepas tewas 2-1 di tangan Kedah di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, semalam.

Kemenangan itu menyaksikan Kedah kini mengumpul 21 mata selepas 12 perlawanan, manakala Selangor kekal dengan 11 mata.

Skuad kendalian Nizam Adzha Yusoff yang turun dengan misi meraih kemenangan kedua berturut-turut di bulan Ramadan selepas menundukkan Pahang 2-0 di Darul Aman, Selasa lalu membuka tirai jaringan pada minit ke-28 menerusi Baddrol Bakhtiar.

Liridon Krasniqi mengukuhkan kedudukan buat Kedah hanya tujuh minit selepas bersambung babak kedua apabila rembatan jarak dekatnya gagal diselamatkan penjaga gol, Khairul Azhan Khalid.

Kedah yang dilihat lebih banyak melakukan gerakan berbahaya hampir menambah gol ketiga menerusi Syazwan Zainon, namun percubaannya diselamatkan pemain pertahanan, K Kannan ketika Khairul Azhan sudah keluar dari posisi.

Selangor yang cuba bangkit dengan beberapa gerakan ke kubu Kedah akhirnya berjaya memecahkan kebuntuan jaringan menerusi Syahmi Safari yang menyudahkan hantaran Kannan pada minit ke-70. Kedudukan 2-1 memihak Kedah kekal hingga wisel penamat.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com