Kedah Catat Penurunan Kes Demam Denggi


ALOR SETAR – Kedah mencatatkan penurunan 8.1 peratus kes demam denggi atau 578 kes bagi tempoh 1 Jan hingga semalam berbanding 629 kes yang direkodkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata terdapat dua kes kematian akibat denggi yang melibatkan daerah Kubang Pasu dan Kota Setar.

Namun, beliau berkata tujuh daerah didapati menunjukkan peningkatan kes berbanding tempoh yang sama tahun lepas iaitu Pendang sebanyak 39 kes (46 kes berbanding tujuh kes), Kota Setar peningkatan 38 kes (69 berbanding 31) dan Langkawi peningkatan 37 kes (58 berbanding 21).

Daerah lain ialah Padang Terap peningkatan 19 kes (30 berbanding 11), Sik peningkatan 13 kes (36 berbanding 23), Yan peningkatan lima kes (sembilan berbanding empat) dan Kubang Pasu peningkatan tiga kes (43 berbanding 40).

“Empat daerah yang menunjukkan penurunan kes ialah Kuala Muda dengan 146 kes berbanding 261 kes, Kulim dengan 87 kes berbanding 157 kes, Baling dengan 49 kes berbanding 63 kes dan Bandar Baharu mencatatkan lima kes berbanding 11 kes,” katanya dalam kenyataan semalam.

Sementara itu, Dr Norhizan berkata terdapat tiga lokaliti wabak denggi yang aktif iaitu di Kampung Belakang Pendang, Pendang dengan 23 kes; Pasar Besar, Alor Setar dengan tujuh kes dan Banggol Kiat, Sik dengan dua kes dan semuanya dalam keadaan terkawal.

Beliau berkata dalam tempoh itu, pihaknya melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan demam denggi dengan melakukan pemeriksaan pembiakan aedes di 185,913 premis dan mendapati terdapat 4,339 premis mempunyai pembiakan jentik-jentik.

“Kami mengeluarkan 1,759 kompaun berjumlah RM849,100 di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dan sebanyak 357 notis bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat berpotensi menjadi tempat pembiakan aedes.

“Kami juga telah melakukan semburan untuk membunuh nyamuk aedes di 210,222 premis di seluruh Kedah dan 40,138 premis diletakkan ubat pembunuh jentik-jentik,” katanya.

Katanya, promosi kesihatan juga giat dijalankan bagi memberi kesedaran mengenai penyakit denggi kepada seluruh masyarakat dalam menangani kes dan wabak denggi ini. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com