"Kami Bukan Pembangkang, Bebaskan Seni Malaysia!"- Kata Amani


PELAKON Sharifah Amani berharap tidak ada lagi mana-mana pihak yang menyekat dia dan beberapa rakannya muncul di kaca televisyen.

Amani atau nama sebenarnya Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya, 32, berkata mereka mahu terus bebas bersuara bagi memperjuangan industri seni tanah air.

"Sekarang mereka tidak boleh cakap yang mereka tak nak saya atau rakan-rakan saya sebab kami terlalu politik dan terlalu bersuara.

"Kami bukanlah pembangkang. Bebaskan Seni Malaysia!," kata Amani menerusi laman Twitternya.

Amani meluahkan pendapatnya itu bagi membalas semula tweet pengikutnya yang mahu melihat pelakon wanita itu kembali beraksi dan berkarya di TV.

Tambah pemenang pelakon wanita terbaik di Festival Filem Malaysia 2006 ini, dia mengajak semua orang memperbaiki industri seni demi masa depan yang lebih baik.

Malah, dia berharap selepas ini tidak akan ada lagi hiburan kosong yang membosankan dan melalaikan masyarakat.

"Tiba masa untuk membersihkan industri hiburan kita secara besar-besaran. Semoga integriti berlaku.

"Kita boleh lakukan bersama. Kita semua perlu bersatu untuk memperbaiki industri bersama-sama. Untuk masa depan yang lebih baik untuk kita semua. Insya-Allah.

"Tidak ada lagi hiburan kosang yang membosankan, yang melalaikan masyarakat. Penonton tidak bodoh. They deserve better! Ayuh kita selamatkan Seni Malaysia!" katanya.

Dalam pada itu, Amani banyak belajar setelah berbincang dengan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM).

Baginya, semua anak seni perlu memelihara kebaikan dan melindungi masa depan seni dan budaya.

"Selama ni saya naik turun mesyuarat Seniman. Belajar lagi pasal Finas. Naik turun mesyuarat GAFIM.

"Alhamdulillah banyak belajar. Tiba masa saya menggunakan apa yang dipelajari untuk bertindak.

"Kita mesti memelihara kebaikan dan melindungi masa depan seni dan budaya kita. Mudah-mudahan," ujarnya.

Sumber:Mstar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com