'Kalau Mereka Hendak Ketepikan BR1M, Suruh Mokhzani Sendiri Bagi Bantuan'


BENTONG: Tindakan Tan Sri Mokhzani Mahathir memperlekeh Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sama seperti menafikan janji pembangkang untuk meneruskan bantuan itu jika pakatan itu mendapat mandat untuk mentadbir negara pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata ini menunjukkan pembangkang tidak mempunyai kesepakatan dalam isu berkenaan, malah kenyataan itu dibuat oleh seseorang yang tiada kedudukan dalam parti.

"Kalau mereka hendak ketepikan BR1M, suruh Mokhzani sendiri bagi bantuan kepada mereka yang memerlukan... saya rasa beliau banyak duit (kerana berstatus antara individu Melayu terkaya di Malaysia).

"Orang tahu BR1M diterima rakyat dan untuk dia mengatakan BR1M tidak diperlukan rakyat daif... dia tidak tahu ke keadaan mereka yang benar-benar daif?

"Saya rasa beliau tidak ada kredibiliti dan kedudukan dalam parti untuk memberi hujah begitu," katanya kepada media selepas majlis bersama rakyat di Dewan Semak Bakti FELDA Lurah Bilut di semalam.

Yang turut hadir, Presiden MCA yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Bilut, Jason Poo Mun Hoong.

Menteri Pertahanan itu mengulas kenyataan Mokhzani yang juga anak Tun Dr Mahathir Mohamad memperlekehkan penerima BR1M, dengan mengatakan tiada apa yang perlu dibanggakan mengenai bantuan itu.

Mokhzani dalam ceramahnya di pentas pakatan pembangkang di FELDA Sungai Tiang, Pendang, Kedah, malam kelmarin, dipetik sebagai berkata, meskipun kerajaan gembira kerana mampu membantu rakyat menerusi BR1M, rakyat sebenarnya lupa bantuan itu menunjukkan mereka tidak mampu menyara kehidupan sendiri.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, permuafakatan dan semangat setia kawan antara komponen BN sejak sekian lama menjadi azimat untuk memberi kemenangan kepada gabungan itu pada PRU-14.

"Inilah kelebihan BN, parti ini menjadi wadah yang akan membela semua kaum tidak kira latar belakang masing-masing, perjuangan ini dilalui bersama sejak dahulu dan kekal sehingga kini.

"Persahabatan yang cukup baik di antara saya dan Tiong Lai adalah simbolik kepada perjuangan ini... tiada makna jika saya menang di Sembrong jika saya tidak bersungguh-sungguh memastikan kemenangan Tiong Lai di Bentong," katanya.

Sumber: BH

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com