Kakitangan MIDA Santuni Golongan Asnaf Di Kedah, Perlis


SIK - Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melalui Jawatankuasa Kerohanian, Kebajikan dan Sahsiah (Jakkas) menganjurkan Program Amal Jariah, bermula semalam, bagi menyantuni 60 asnaf di daerah ini serta Kangar, Perlis.

Pengarah Eksekutif MIDA merangkap Pengerusi Jakkas, Mohd Zulkafli Ismail, berkata program tanggungjawab sosial korporat (CSR) selama tiga hari itu dijayakan 40 kakitangan MIDA dari Kuala Lumpur, Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

Katanya, penganjuran tahunan kali ke-16 itu memberi peluang kakitangan MIDA terbabit mendekati masyarakat luar bandar, terutama warga emas, golongan miskin, anak yatim, orang kurang upaya (OKU), dan ibu atau bapa tunggal.

Beliau berkata, inisiatif itu mula dilaksanakan pada 2002 di Sik dan kembali ke sini bagi menyantuni golongan memerlukan sempena Ramadan tahun ini.

Melalui program itu, katanya, 50 keluarga di beberapa kampung di Nami, Jeneri dan Telaga Batu di sini, serta 10 keluarga di Kangar menerima bantuan berupa barangan keperluan harian seperti beras, gula dan minyak masak, selain kuih raya serta wang tunai RM500.


"Sumbangan disampaikan dari rumah ke rumah dan penerima dipilih berdasarkan senarai diperoleh daripada Lembaga Zakat Kedah, Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

"Program ini akan diteruskan pada masa depan bagi menyantuni lebih ramai golongan memerlukan.

"Tahun lalu, kita mengadakan program bersama masyarakat di Jelebu, Negeri Sembilan. Tahun ini, di Kedah dan Perlis. Tahun depan, di lokasi berbeza pula," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa di Masjid Kampung Namek dekat sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir, Pengarah MIDA Kedah/Perlis, Mohd Harun Elik, dan Ketua Bahagian Tarif MIDA, Hazli Jemaat.

Terdahulu, Mohd Zulkafli turut mengagihkan bubur lambuk kepada kira-kira 250 penduduk di sekitar Kampung Namek, selain menyampaikan sumbangan moreh berbentuk barangan dapur kepada 150 penerima.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com