Kak Su Seronok Dapat Luang Lebih Banyak Masa Dengan Orang Sg Tiang


PENDANG - Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob seronok dapat meluangkan lebih banyak masa bersama penduduk kawasannya sepanjang tempoh berkempen pilihan raya ini.

Beliau berkata, meskipun beliau sering turun padang bertemu masyarakat setiap minggu selama tiga penggal sebelum ini, namun tempoh berkempen ini memberi lebih banyak masa untuknya berdamping dengan rakyat.

"Sejak jadi Adun Sungai Tiang tiga penggal lalu. Pantang masa terluang, Kak Su akan turun. Kadang-kadang tu, lepas mesyuarat Exco, Kak Su akan 'lari' mai sat jumpa orang Sungai Tiang. Dapat jumpa sat pun takpa...

"Dalam seminggu tu, memang Kak Su khaskan sehari untuk berada di Pusat Khidmat Dun. Untuk hari-hari lain, kalau tak ada program, Sungai Tiang ni la tempat Kak Su ronda.

"Bila time berkempen PRU macam ni, lebih seronok la Kak Su. Boleh jumpa ramai orang kampung, boleh luang lebih banyak masa dengan orang Sungai Tiang. Meriah..!," katanya ketika ditemui Kedahnews.com, di sini petang semalam.


Suraya atau lebih mesra dikenali sebagai "Kak Su" oleh warga Sungai Tiang itu turut diakui amat kerap turun padang oleh masyarakat tempatan yang juga merupakan anak jati Sungai Siput, Preecha Rune.

Menurutnya, Suraya yang sudah tiga penggal berkhidmat sebagai wakil rakyat N19 Dun Sungai Tiang itu amat mengambil berat soal kebajikan penduduk masyarakat Siam di kawasan berkenaan.

"Saya tidak pasti tentang pemimpin lain, tapi Kak Su memang ambil berat tentang kami masyarakat Siam di sini. Tak macam sesetengah wakil rakyat lain yang hanya jumpa kami masa nak pilihan raya saja, lepas tu 'hilang'," katanya.

Sementara itu, Ahmad Daud Derani dari Felda Sungai Tiang berkata, penduduk di Dun berkenaan amat mudah untuk bertemu dengan Kak Su sama ada di Pusat Khidmat mahupun ketika beliau menziarahi kawasan.

Jelasnya, sikap mesra Kak Su memudahkan beliau didekati orang kampung dan menyebabkan Ketua Wanita UMNO Bahagian Pendang itu menjadi pilihan warga Sungai Tiang pada setiap kali pilihan raya.

"Banyak yang Kak Su dah buat kat Sungai Tiang ni. Dalam tiga penggal ni, macam-macam beliau dah bantu kami orang Sungai Tiang. Orang sini memang suka kat YB (Kak Su). Dia lain daripada yang lain," katanya.


Namun begitu, difahamkan terdapat segelintir pihak khususnya mereka yang berkepentingan politik yang suka mencari helah memperlekehkan segala usaha yang dibawa oleh Suraya selama ini.

"Biasalah tu. Mungkin depa cemburu. Hati manusia tak sama. Ada yang elok, ada yang busuk. Kami harap Kak Su sabar sajalah," ujarnya lagi.

Kak Su bakal mempertahankan kerusi N19 Dun Sungai Tiang dalam pertandingang tiga penjuru ekoran dicabar calon PPBM yang bertanding atas ehsan PKR, Abdul Razak Khamis, dan calon PAS, Syazwan Shafie.

Pada PRU ke-13 yang lalu, Kak Su menang bergaya dengan memperoleh majoriti 6,994 undi, menewaskan calon PAS, Fadzil Baharum, manakala calon parti KITA, Charean A/L Isen, dan calon bebas, Rosli Omar, hilang wang deposit pertaruhan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com