Kabinet Dr Mahathir Angkat Sumpah Isnin Ini


KUALA LUMPUR - Tun Dr Mahathir Mohamad berkata majlis angkat sumpah Menteri bagi 10 kementerian akan diadakan pada Isnin ini.

Perdana Menteri berkata, senarai penuh Menteri itu akan diketahui esok atau selewat-lewatnya hujung minggu ini.

Katanya, hasil mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) memutuskan beliau sebagai Menteri Pelajaran manakala Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjaga portfolio Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan.

"Seperti yang saya umumkan sebelum ini, pada permulaan kita hanya mempunyai 10 kementerian dengan keseluruhan anggota Kabinet 25 orang.

"Dalam menentukan anggota Kabinet ini, kekuatan parti bukan sandaran untuk melantik 25 ahli Jemaah Menteri itu...kita rasa 13 ahli sudah mencukupi.

"Kita melihat kepada kepakaran yang bersesuaian dan kelewatan penubuhan Kabinet ini adalah kerana mengambil kira semua keperluan supaya tidak berlaku pertindihan, " katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden PH di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Dr Mahathir berkata jumlah Kabinet akan ditambah jika ada keperluan pada masa depan.

Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi PH, mengumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menganggotai Majlis Pemimpin Utama PH menjadikan keseluruhan anggota majlis itu enam orang.

Sebelum ini, Majlis Pemimpin Utama PH itu dianggotai lima Presiden parti komponen PH.

Turut diumumkan, keanggotaan Majlis Tertinggi Presiden PH membabitkan 22 anggota termasuk seorang wakil Pemuda dan Wanita parti itu.

Beliau turut memberitahu, Majlis Tertinggi Presiden PH juga bersetuju diwujudkan Pasukan Petugas Khas yang dipengerusikan beliau sendiri untuk melihat kepada isu komuniti minoriti, masyarakat India dan isu orang muda serta wanita.

Jawatankuasa itu turut dianggotai Muhyiddin dan Mohamad Sabu.

Dalam perkembangan lain mengenai Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian, yang memegang tiga portfolio kerajaan negeri, Dr Mahathir berkata beliau memerlukan masa untuk mengkaji perkara yang disampaikan kepadanya mengenai isu itu.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com