Jualan Perjalanan Harian Meningkat Menjelang PRU-14


KUALA LUMPUR - Platform pulangan tunai dalam talian, ShopBack yang menjalin kerjasama dengan kebanyakan laman web tempahan penginapan dan pengangkutan di negara ini menyaksikan peningkatan 26 peratus pembelian perjalanan dalam kalangan pengguna tempatan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei ini.

Pengurus Besar Negaranya, Alvil Gill berkata tempoh kemuncak seterusnya bagi tempahan perjalanan selepas Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia 2018 (MATTA Fair 2018) sepatutnya adalah dalam tempoh dua minggu sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri.

"Bagainamanpun, aliran pembelian muncul lebih awal tahun ini berikutan PRU-14 yang ditetapkan sebelum bulan Ramadan," katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.

Berdasarkan data ShopBack Malaysia, rakan kerjasama yang menawarkan diskaun untuk tiket penerbangan dan bas serta kad petrol isian semula adalah yang paling mendapat sambutan di bawah kategori perjalanan di laman web dan aplikasi telefon pintar ShopBack.

"Permintaan kekal kukuh dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini dan ia disumbangkan oleh faktor seperti AirAsia memperkenalkan tambang tetap bagi semua pengundi.

"Pengguna ShopBack boleh membeli tiket AirAsia menerusi Traveloka dan Expedia dan dalam masa yang sama mendapat simpanan pulangan tunai daripada setiap transaksi yang dibuat.

"Selain itu, tiket bas dan kad hadiah Petronas daripada Lazada dan 11street juga muncul antara produk jualan terbaik pada April," katanya.

Bagi memenuhi permintaan mereka yang masih belum membuat tempahan pengangkutan lagi, ShopBack akan menganjurkan Pesta Perjalanan Pertengahan Tahun bermula dari 30 April hingga 6 Mei ini.

Ia menawarkan sehingga 7.5 peratus pulangan tunai bersama-sama dengan rakan kerjasamanya termasuklah Malaysia Airlines, Traveloka, Expedia, BusOnlineTicket, Booking.com, Hotels.com dan sebagainya.

Dalam perkembangan berkaitan, Alvin berkata data ShopBack menunjukkan kebanyakan rakyat tempatan lebih cenderung melawat destinasi domestik terutamanya Kuala Lumpur, Melaka dan Johor Bahru.

"Jepun pula muncul sebagai negara kedua paling popular diikuti oleh Taiwan, Indonesia dan juga Thailand," katanya.

INFO:

*ShopBack meningkatkan pengalaman beli-belah dengan menyediakan sehingga 30 peratus pulangan tunai kepada pelanggan bagi melonjakkan kuasa membeli mereka.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com