Jerlun Tak Perlu Nama Besar Seperti Mukhriz


ALOR SETAR - Calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Jerlun, Datuk Othman Aziz, mengingatkan pengundi di kawasan tersebut bahawa nama besar sahaja tidak cukup untuk menjaga kepentingan rakyat dan memberikan masa depan terjamin.

Sebaliknya, mereka perlukan wakil rakyat tempatan yang tahu keperluan penduduk setempat, khususnya bagi membangunkan ekonomi, pendidikan dan meningkatkan taraf hidup.

Tambahnya, wakil rakyat juga mesti arif mengenai kawasan serta berdedikasi dan komited menunaikan tanggungjawab.

Beliau merujuk kepada lawannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada Rabu ini.

Othman yang akan mempertahankan kerusinya, berkata parti yang diwakili Mukhriz juga tidak ada struktur seperti UMNO, yang lengkap untuk mentadbir dan mengendalikan pelbagai perkara demi keperluan rakyat.

"Kita ada cawangan, bahagian dan pelbagai biro. Parti beliau (Mukhriz) tidak ada struktur seperti kita yang ada jawatankuasa untuk bergerak dengan lebih berkesan," katanya memetik BH Online.

Jelas beliau, dua calon BN untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam dan Kota Siputeh juga adalah pemimpin tempatan dan mempunyai rekod cemerlang.

"Kombinasi ini adalah yang terbaik untuk penduduk Jerlun. Pengundi jangan terpedaya dengan dakyah pembangkang kerana keperluan dan masa depan mereka untuk tempoh lima tahun akan datang perlu diberi keutamaan," ujarnya.

Calon BN di Ayer Hitam ialah wakil rakyat berpengalaman, Datuk Abu Hassan Sarif yang juga pemangku Ketua UMNO bahagian, manakala Ketua Pemuda, Ahmad Azhar Abdullah bertanding di Kota Siputeh.

Othman sepanjang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Jerlun sejak 2013 melaksanakan pelbagai projek termasuk penyaluran bantuan bersifat mesra rakyat dengan nilai peruntukan keseluruhan RM30 juta.

Beliau telah memberi khidmat bantuan seperti penyediaan barang binaan rumah untuk keluarga miskin, pemasangan bekalan elektrik dan paip air bersih, pembinaan dan baik pulih surau serta dewan, bantuan alat pertanian dan banyak lagi yang semuanya menjurus kepada rakyat.

Mengulas jawatan beliau sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) pula, beliau menerajui inisiatif khusus untuk golongan petani membabitkan peruntukan lebih RM40 juta bagi tempoh lima tahun.

Melalui manifesto PRU-14 bertemakan 'Jerlun Untuk Jerlun' Othman yang juga Timbalan Menteri Kewangan menyenaraikan pelbagai agenda khusus untuk kawasan Parlimen ini meliputi bidang pendidikan, agama, ekonomi, pertanian, kebajikan dan sosial, kemudahan asas, kebajikan dan sosial serta pelancongan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com