Jenazah 3 Beradik Mangsa Tetak Disemadi Satu Liang Lahad


PASIR SALAK — Tiga beradik yang maut akibat ditetak oleh seorang lelaki di bawah pengaruh dadah di Bagan Datuk petang semalam dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Ulu Dedap di sini malam semalam.

Jenazah ketiga-tiga beradik iaitu Nur Ziah Fasihah Mohd Fadzil, 2, Muhammad Firash Zaffril, 3, dan Muhammad Faqhqih Zahirul Haq, 5, tiba di tanah perkuburan kira-kira pukul 9.10 malam ini, sebelum pengebumian selesai kira-kira pukul 10 malam.

Suasana sayu menyelubungi kawasan tanah perkuburan yang dihadiri lebih 500 ahli keluarga dan penduduk setempat yang datang memberi penghormatan terakhir sebelum mereka disemadikan.

Sebelum itu, jenazah tiga mangsa dibawa keluar dari Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh kira-kira pukul 7.30 petang selepas selesai proses bedah siasat, dimandi dan dikafankan serta disembahyangkan di hospital berkenaan.

Ketiga-tiga jenazah kemudian dibawa dengan sebuah van jenazah menuju ke Tanah Perkuburan Islam Ulu Dedap.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang semalam, seorang suspek yang dikenali Rambo oleh penduduk setempat dipercayai di bawah pengaruh dadah bersenjatakan parang telah menceroboh rumah dan melibas ketiga-tiga beradik malang itu hingga mengakibatkan kematian.

Ibu mangsa Zuraidah Md Ali, 35, yang turut berada di rumah itu turut cedera parah setelah ditetak di bahagian ibu jari tangan kiri, muka dan kedua-dua belah peha dan kini mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Kuala Lumpur.

Selepas kejadian pertama itu, suspek berumur 35 tahun itu telah menuju ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Haji Muhammad, berdekatan rumah mangsa, dan menyerang tiga lagi mangsa hingga mendatangkan kecederaan.

Tiga mangsa berkenaan ialah kakak sulung ketiga-tiga mangsa Nur Zurin Faziera, 9, seorang murid sekolah yang dikenali Aina, 9 serta seorang guru agama Redhuan Embi, 32, yang kebetulan melalui kawasan itu ketika kejadian. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com