Janji PH Hapus GST Adalah Fantasi - Najib


KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menyifatkan janji Pakatan Harapan (PH) untuk menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta melakukan pembaharuan ekonomi sebagai fantasi dan tidak realistik.

"Itu (janji PH) adalah fantasi. Tak mungkin mereka boleh melaksanakannya," katanya dipetik dalam wawancara bersama Malay Mail, kelmarin.

Najib berkata demikian ketika merujuk pada janji PH untuk membuat pengecualian dan penangguhan bayaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), menghapuskan GST dan menurunkan harga minyak.

Kenyataan bekas Perdana Menteri itu dibuat ketika rakyat menyaksikan operasi pemeriksaan besar-besaran dijalankan polis ke atas pejabat dan kediamannya, bagi membantu siasatan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Polis menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman melakukan pemeriksaan di enam lokasi serentak, iaitu di Pejabat Perdana Menteri (bekas perdana menteri) dan kediaman rasmi bekas Perdana Menteri di Putrajaya serta empat kediaman persendirian di ibu negara, termasuk kediaman Najib di Jalan Langgak Duta, Taman Duta di sini.

Tiga lagi kediaman persendirian yang diperiksa terletak di dalam Pavilion Residences Apartment.

Pelbagai barangan mewah, wang tunai dan dokumen berkaitan 1MDB dirampas polis sepanjang operasi itu.

Najib turut menyatakan keraguannya terhadap langkah mengurangkan GST kepada sifar, langkah sementara yang diumumkan HARAPAN dalam penghapusan cukai berkenaan.

"GST sifar bukan apa yang mereka janjikan. GST sifar boleh juga bererti anda boleh tambah bila-bila masa," katanya.

Najib turut menyifatkan laporan yang mengatakan pentadbirannya gagal sebagai percubaan PH memburukkan imejnya.

"Sudah boleh dilihat bahawa tiga hari selepas pilihan raya, mereka kata ekonomi dalam keadaan kukuh.

"(Sedangkan) sebelum itu mereka kata ekonomi dalam keadaan teruk, kita sedang bankrap dan Malaysia perlu diselamatkan.

"Adakah mereka cuba katakan bahawa ekonomi pulih dengan secepat itu? Simpanan kewangan kukuh dan kita ada pertumbuhan yang baik?

"Tidak! Ini adalah kenyataan yang dibuat tiga hari selepas pilihan raya," katanya dan menambah bahawa ekonomi sememangnya berada dalam keadaan baik ketika di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com