Janji 100 Hari Tumpuan Utama PH


GEORGETOWN - Pakatan Harapan (PH) memberi keutamaan untuk menunaikan janji 100 hari selepas menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), sebelum membangkitkan perbincangan berkaitan pemansuhan konsesi tol.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata tumpuan Kerajaan Persekutuan akan bertukar selepas berjaya menunaikan janji 100 hari itu, selain pihaknya kini sedang mengumpul penyata kewangan negara untuk diteliti.

"Kita perlu mempertimbangkan penyata kewangan yang kita ada ini adalah benar dan beberapa kajian serta semakan perlu dilakukan untuk pengesahannya.

"Kita perlu berhati-hati dan mengumpul penyata kewangan terlebih dahulu. Itu lebih penting untuk masa sekarang ini," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Sebelum ini, PH dalam manifestonya pada PRU-14 menyatakan akan memansuhkan konsesi tol, termasuk di Jambatan Pulau Pinang.

Bagaimanapun, pengumuman mengenai pemansuhan konsesi tol itu dijangka dibuat Ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, pada minggu hadapan.

Ditanya mengenai perkembangan dua pertuduhan rasuah dihadapi Guan Eng, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut selain menegaskan akan menyerahkannya kepada pihak mahkamah untuk membuat keputusan.

"Saya ingin tekankan bahawa ia adalah pertuduhan berasaskan politik dan tiada asas bagi kes terbabit. Bagaimanapun, biarkan mahkamah yang membuat keputusan," katanya.

Sumber:BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com