Jangan Tular Gambar Kertas Undi – SPR


PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melarang pengundi khususnya yang mengundi secara pos sama ada di dalam atau luar negara menularkan gambar mana-mana dokumen seperti kertas undi, borang atau sampul berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata larangan ini bertujuan memastikan ketelusan undi adalah rahsia, tetap terpelihara dalam PRU14.

“Larangan ini meliputi semua jenis pengundian termasuk undi pos yang menerima dokumen pilihan raya sebelum pengundian awal atau biasa.

“Ia juga bertujuan memelihara keselamatan dan kepentingan awam sepanjang proses pilihan raya berlangsung,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata mana-mana individu yang didapati melakukan kesalahan tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 3 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5).

Mohd Hashim berkata, jika sabit kesalahan mereka boleh dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau didenda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata individu terbabit juga tidak boleh didaftarkan atau disenaraikan sebagai seorang pemilih atau mengundi dalam mana-mana pilihan raya sehingga tamat tempoh lima tahun daripada sabitan itu.

Jika kesalahan itu dilakukan oleh seorang wakil rakyat, Mohd Hashim berkata kerusinya hendaklah dikosongkan dari tarikh sabitan. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com