'Jangan Perlekeh Penerima BR1M'


KUALA LUMPUR - Tindakan memperlekehkan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah satu perbuatan menghina dan tidak mempedulikan kehidupan orang lain.

Penganalisis politik dan pakar ekonomi, Prof Dr Hoo Ke Ping, berkata pemberian BR1M adalah satu bantuan tambahan kepada rakyat yang memerlukan.

"Ramai yang menerima manfaat daripada BR1M dan ia mencukupi dalam membantu meringankan beban rakyat," katanya ketika dihubungi, di sini.

Ke Ping berkata, kerugian yang ditanggung kerajaan jauh lebih tinggi ketika terpaksa menampung pemberian pinjaman kepada Proton sebelum ini, dengan anggaran pinjaman antara RM1 bilion hingga hampir RM2 bilion setahun.

"Cuba bandingkan pemberian BR1M dengan bantuan pinjaman kepada Proton yang sebelum itu diuruskan Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Bantuan BR1M adalah bermanfaat serta membantu rakyat, sebaliknya Proton hanya menyenangkan pihak tertentu sahaja," katanya.

Mengulas mengenai dakwaan mengatakan projek mega di Malaysia hanya menguntungkan pihak lain seperti China, beliau berkata, kerajaan sudah menyediakan perancangan teliti dan tetap mengambil kira kepentingan pembangunan negara serta rakyatnya.

"Tidak salah mereka (China) membawa masuk kepakaran serta tenaga buruh mereka sendiri kerana ia mungkin membabitkan beberapa aspek, termasuk kos buruh.

"Tetapi pada masa sama, kerajaan juga sudah menetapkan peraturan supaya separuh lagi peluang pekerjaan perlu diberikan kepada rakyat Malaysia, termasuk mewajibkan peratusan kuota tertentu bagi penggunaan kandungan tempatan," katanya.

Beliau mengulas kenyataan anak bekas Perdana Menteri, yang juga antara individu Melayu terkaya di Malaysia, Tan Sri Mokhzani Mahathir, yang memperlekehkan penerima BR1M, dengan mengatakan tiada apa yang perlu dibanggakan mengenai bantuan itu.

Mokhzani dalam ceramahnya di pentas pakatan pembangkang di FELDA Sungai Tiang, Pendang, Kedah, malam kelmarin, dipetik sebagai berkata, meskipun kerajaan gembira kerana mampu membantu rakyat menerusi BR1M, rakyat sebenarnya lupa bantuan itu menunjukkan mereka tidak mampu menyara kehidupan sendiri.

Pada ceramah sama, Mokhzani turut mengatakan janji kerajaan untuk mewujudkan tiga juta peluang pekerjaan dianggap tidak pasti kerana apa yang dilihat dalam projek mega seperti di Kuantan dan Johor Bahru, dilaburkan untuk China.

Sementara itu, Pengarah Projek Khas Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata BR1M adalah bantuan kepada rakyat terutama kepada golongan B40 dan ia harus diteruskan sehingga tiada siapa yang memerlukannya atau sehingga negara tidak lagi berkeupayaan.

"Dalam Islam sendiri, ada Baitulmal yang menyalurkan bantuan zakat dan pelbagai bantuan lain melalui kutipan zakat. Bantuan ini adalah bagi mereka yang memerlukan serta terhad kepada golongan asnaf dan Islam.

"Justeru, bantuan BR1M adalah untuk semua rakyat Malaysia tidak mengira kaum dan agama," katanya.

Sumber:BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com