Jangan Pandang Remeh Ancaman Berita Palsu


KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggesa rakyat di negara ini supaya mengikis sikap negatif dan tidak memandang remeh terhadap ancaman berita palsu yang boleh memberi impak kepada kehidupan mereka.

Pengarah Kanan Bahagian Advokasi dan Jangkauan MCMC, Eneng Faridah Iskandar berkata berita palsu merupakan masalah yang bukan sahaja berlaku di negara ini bahkan ia juga berlaku di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, Jerman, Perancis dan United Kingdom.

“Tahap keseriusan ancaman berita palsu itu, akhirnya telah mendorong kerajaan di negara-negara tersebut bagi melaksanakan pelbagai langkah proaktif untuk memerangi bahana berita palsu.

“Ancaman berita palsu ini tidak mengenal mangsa dan turut memberi kesan kepada emosi seseorang, reputasi sesebuah organisasi mahupun kesejahteraan dan keharmonian negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.

Beliau berharap usaha sama antara pihak berkuasa dan orang ramai dalam memerangi berita palsu dapat diperkukuh dari semasa ke semasa agar menyumbang kepada usaha dalam memerangi berita palsu yang giat dijalankan ketika ini.

“Justeru, adalah penting untuk masyarakat tidak memandang remeh terhadap ancaman sedemikian dan menganggapnya bukan masalah mereka. Persepsi sebegini adalah tidak tepat dan boleh memakan diri.

“Itu sebabnya, penyertaan masyarakat dalam kempen-kempen advokasi ini adalah penting kerana dengan penyertaan berkenaan, mereka sekurang-kurangnya dapat mengetahui apakah langkah-langkah terbaik untuk melindungi diri mereka daripada ancaman itu.

“Pada masa yang sama, dengan informasi yang diperoleh daripada kempen-kempen advokasi, orang ramai sebenarnya boleh membantu pihak berkuasa dengan menyebarkan informasi tersebut untuk pemahaman orang lain,” katanya.

Pelbagai inisiatif telah pun diambil oleh MCMC dalam memerangi berita palsu setakat ini antaranya adalah pelancaran portal dan aplikasi mudah alih sebenarnya.my, siri jelajah sebenarnya.my di seluruh negara, penganjuran kempen advokasi dan kesedaran seperti Klik Dengan Bijak (KDB), Sukarelawan ICT Malaysia (MIV) serta penekanan kepada peranan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) sebagai barisan hadapan dalam menyekat sebaran berita palsu. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com