Jangan Membazir, Terpengaruh Juadah Viral


SEREMBAN - Umat Islam diingatkan tidak membazir ketika membeli juadah berbuka puasa, termasuk terpengaruh dengan iklan makanan atau minuman yang menjadi viral di media sosial.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad, berkata Ramadan adalah bulan umat Islam berpuasa dan meningkatkan amalan yang mendatangkan pahala, justeru tidak sepatutnya dicemarkan dengan pembaziran.

"Ibadat puasa itu sendiri mengajar kita supaya menahan lapar dan dahaga serta mengawal nafsu. Oleh itu, umat Islam perlu mengelak daripada membeli juadah secara berlebihan sehingga terpaksa dibuang selepas waktu berbuka.

"Kalau diikutkan nafsu, memang kita akan mudah terpengaruh dengan pelbagai juadah lebih-lebih lagi yang berwarna-warni selain makanan atau minuman yang menjadi viral di laman sosial. Tidak salah membeli, tetapi jangan berlebihan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Yusof berkata, umat Islam perlu menghayati sunnah Nabi Muhammad SAW yang mengajar mengenai kesederhanaan, termasuk berbuka puasa dengan tiga biji kurma dan tidak makan serta minum sehingga terlalu kenyang.

Dalam pada itu, beliau berkata, trend berbuka puasa secara bufet di hotel juga tidak menjadi kesalahan asalkan tidak membabitkan pembaziran dan acara yang melalaikan.

"Kadang-kadang kita menghadiri acara berbuka puasa anjuran pihak tertentu di hotel atau kita sendiri mahu berbuka puasa di hotel.

"Ini tidak salah asalkan umat Islam tetap mengamalkan kesederhanaan dan tidak membazirkan makanan. Kita juga tidak boleh menghadap makanan terlalu lama sehingga terlewat mengerjakan solat Maghrib," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com