Jangan Lagi Termakan Racun DAP – Liow


BENTONG — DAP sebuah parti yang hanya datang bersama ‘racun’ setiap kali pilihan raya bagi memecahbelahkan rakyat demi kepentingan politik peribadi, kata Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Bentong berkata wakil rakyat DAP biasanya akan lari daripada tanggungjawab selepas racun yang ditabur mengenai sasaran, akibat kegagalan menjalankan tanggungjawab.

Menteri Pengangkutan itu berkata perkara tersebut dibuktikan melalui tindakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bilut, Chow Yu Hui yang lari dan bertanding di DUN Tras pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kali ini.

“Sebab itu saya ingatkan agar kita tidak lagi termakan racun dibawa pembangkang, terutamanya DAP yang kali ini pasti datang lagi menagih simpati dan akan lompat lagi ke tempat lain selepas lima tahun.

“Paling penting rakyat kena ingat mereka datang kerana hendak pecahbelahkan dan mengeksploitasi keadaan, bukannya berbakti kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis bersama rakyat di Taman Desa Damai di sini semalam.

Majlis bersama kira-kira 500 penduduk itu turut dihadiri Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan calon BN bagi DUN Bilut, Jason Poo Mun Hoong.

Tiong Lai berkata PRU14 kali ini amat penting untuk kesinambungan pembangunan negara dan pengundi seharusnya tidak lagi termakan pujukan pembangkang untuk memastikan generasi akan datang dapat terus menikmati faedah dan kemajuan yang dirancang kerajaan BN.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata persahabatan erat antara beliau dan Liow yang terjalin sejak sama-sama mengetuai pergerakan Pemuda parti masing-masing membawanya ‘berkelana’ ke Bentong bagi memastikan sahabat baiknya memperoleh kemenangan selesa 9 Mei ini.

Dalam keadaan suaranya yang serak dan seolah-olah menahan kesakitan, Hishammuddin yang juga bertanding mempertahankan Parlimen Sembrong di Johor berkata beliau mahu Liow turut merasai keadaan selamat sepertimana kedudukannya di kerusi Sembrong.

“Saya ada dengar Bentong diserang dengan begitu hebat oleh pihak lawan dan atas sebab itu saya secara peribadi turun untuk melihat keadaan dan saya dapati ia tidak sepertimana diperkatakan orang, malah yakin sahabat baik ini akan mendapat kemenangan yang selesa,” katanya.  – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com