Jaga Perpaduan Fasa Peralihan Kuasa – Abdul Hadi


KUALA LUMPUR – Pas memandang serius perkembangan politik semasa pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) khususnya dalam tempoh pembentukan Kabinet Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu menjaga perpaduan dan keharmonian masyarakat dalam fasa peralihan kuasa.

“Pas memandang serius hal ehwal kepentingan Islam dan hak umat Islam yang perlu dititik beratkan oleh kerajaan yang baru dilantik.

“Ia selari dengan majoriti penduduk Malaysia dalam kalangan Melayu Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abdul Hadi dipercayai merujuk kepada kemelut pelantikan menteri kanan Kabinet oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dipertikai Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Rafizi dalam kenyataan di media sosial menganggap pelantikan itu belum sahih kerana tidak mendapat persetujuan pucuk pimpinan PKR.

Perdana Menteri menamakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan; Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri dan Presiden PAN, Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan.

Menurut Rafizi, satu perbincangan berlangsung antara Mahathir dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia di Cheras selepas sidang media diadakan.

Bagaimanapun, ada laporan menyatakan Mohamad Sabu tampil mempertahankan keputusan Mahathir, mengatakan ia sudah dibincangkan di mesyuarat presiden PH dan kata putus pelantikan menteri adalah prerogatif Perdana Menteri. 

Sumber: MalaysiaGazette

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com