Jabatan Kesihatan Kedah Beri Amaran Keras Pada Staf Hospital Kulim


ALOR SETAR - Jabatan Kesihatan Kedah memberi amaran keras kepada staf yang terlibat dalam insiden lewat mendaftarkan kes bagi tujuan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kulim kelmarin yang telah tular di media sosial.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail mendedahkan menerima laporan mengenai kelewatan dalam mendaftarkan pesakit kanak-kanak tersebut dan memandang serius perkara itu.

Staf yang terlibat akan dikenakan amaran keras serta tindakan dan Jabatan Kecemasan Hospital Kulim turut diberi peringatan agar memastikan kejadian ini tidak berulang.

"Jabatan akan turut mengeluarkan peringatan segera kepada semua  hospital dan klinik kesihatan seluruh negeri bagi mengelakkan kejadian sebegini daripada terus berlaku.

"Kita kesal dengan kejadian ini dan memohon maaf kepada keluarga terbabit atas segala kesulitan yang timbul.

"Insya-ALLAH, pihak pengurusan Hospital Kulim  akan menghubungi keluarga yang terlibat dalam masa yang terdekat bagi menyatakan kekesalan dan memohon maaf atas kejadian ini,"katanya semalam petik Sinar.

Selain itu, beliau turut menjelaskan garis panduan sedia ada kepada setiap pesakit yang memerlukan rawatan perlu didaftarkan menggunakan MyKad, MyKid atau passport.

"Bagaimanapun, bagi pesakit yang tidak membawa pengenalan diri, pesakit masih boleh didaftarkan bagi mendapatkan rawatan,"katanya.

Norhizan berkata hasil siasatan mendapati pada 4 Mei 2018 jam 10.41 malam, tiga mangsa kemalangan jalan raya telah tiba di Jabatan kecemasan Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan iaitu seorang dewasa dan dua kanak-kanak.

"Mangsa pertama (dewasa) telah dimasukkan serta merta ke zon kuning dan diberikan rawatan tetapi berlaku kelewatan pendaftaran kepada dua  pesakit kanak-kanak di mana waris tidak dapat mengemukakan MyKid.

"Namun kedua kanak-kanak tersebut telah didaftar pada 5 Mei 2018 jam 12:24 pagi dan 12:26 pagi dan diberi rawatan segera oleh pegawai perubatan bertugas. Kanak-kanak tersebut tidak mengalami kecederaan serius dan dalam keadaan stabil,"katanya.

Baru-baru ini, menjadi tular di laman sosial bekenaan isu kelewatan mendaftar pesakit kanak-kanak berumur 9 bulan disebabkan ketiadaan MYKid di Kaunter Kecemasan Hospital Kulim oleh seorang pengguna Facebook sejak semalam. - Kedahnew.scom

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com