Ivanka Trump Tiba Di Baitulmaqdis


BAITULMAQDIS - PALESTIN.Anak perempuan Presiden Amerika Syarikat (AS) Ivanka Trump bersama suami, Jared Kushner, tiba di Baitulmaqdis kelmarin bagi merasmikan pembukaan kedutaan baharu Amerika Syarikat (AS).

Pasangan tersebut yang juga penasihat kanan Rumah Putih mewakili Trump ke majlis pembukaan sementara presiden itu dijangka berucap menerusi sidang video pada majlis yang dijadual berlangsung jam 4 petang waktu tempatan semalam.

Bercakap kepada media, Ivanka berkata beliau gembira dapat kembali  dan mengharapkan masa depan cerah bersama Israel.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata perpindahan kedutaan AS ke Baitulmaqdis adalah sesuatu yang wajar diraikan apatah lagi ia jatuh pada hari ulangtahun ke-70 Israel.

"Saya menyeru semua negara menyertai AS dan memindahkan kedutaan mereka ke Baitulmaqdis, ia sesuatu yang perlu dilakukan kerana ia bakal mewujudkan keamanan, " ujar Netanyahu.

Sementara itu, hanya 32 daripada 86 duta asing di Israel yang menerima jemputan, hadir ke majlis makan malam meraikan pembukaan kedutaan terbabit.

Antara yang hadir adalah delegasi dari Guatemala dan Paraguay, yang akan membuka kedutaan mereka di sini, akhir bulan ini manakala Hungary, Romania dan Republik Czech diwakili Menteri Luarnya.

Pihak Kesatuan Eropah (EU) yang menyatakan bantahan tegas terhadap perpindahan kedutaan AS memaklumkan akan memboikot acara terbabit.

Pendudukan Israel ke atas Baitulmaqdis tidak diiktiraf di peringkat antarabangsa dan menurut perjanjian keamanan Israel-Palestin pada tahun 1993, status Baitulmaqdis perlu dibincangkan dalam perundingan damai.

Trump pada Disember lalu mengumumkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Keputusan itu mencetuskan kemarahan dunia Islam serta bantahan besar-besaran di Palestin.  - BBC

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com