Isteri kejam, Bunuh Suami Dengan Bantuan 4 Kekasih


NEW DELHI - Seorang wanita ditahan polis kerana membunuh suaminya dengan bantuan empat kekasihnya sebelum mengerat tiga mayat mangsa dan menyumbatnya ke dalam guni yang dibuang di tiga lokasi berbeza.

Times of India melaporkan, kejadian 1 April lalu di Goa itu terbongkar selepas saksi yang melihat kejadian itu memaklumkan polis mengenai pembunuhan berkenaan tiga hari lalu.

Mangsa, Basavraj Bariki, 38, tidak mempunyai keluarga di Goa menyebabkan kehilangannya tidak dilaporkan sesiapa.

Jurucakap polis, Arvind Gawas berkata, isteri mangsa, Kalpana Bariki, 30, dilaporkan mempunyai hubungan sulit dengan tiga lelaki.

Perbuatan Kalpana itu dihidu suaminya menyebabkan mereka sering bertengkar. Selepas pertengkaran pada 1 April lalu, dia berpakat dengan semua kekasihnya untuk membunuh mangsa.

Times Now News melaporkan, Kalpana mencekik Basavraj menggunakan tali sementara tiga kekasihnya itu memegang mangsa. Selepas mangsa mati mereka mengerat mayat itu sebelum membuangnya di beberapa lokasi di Dudhsagar.

Seorang saksi bagaimanapun tampil memaklumkan polis yang membawa kepada penangkapan Kalpana. Wanita itu kemudian menunjukkan semua lokasi sisa mayat suaminya dibuang yang sudah reput.

Menurut The India, tiga suspek sudah ditangkap manakala seorang lagi masih diburu polis.-Agensi

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com