Ikut Kepemimpinan Rasulullah SAW - Hadi Awang


KUALA LUMPUR - Ketua dan pemimpin politik di negara ini perlu mencontohi kepemimpinan Rasulullah SAW yang mengamalkan wasatiyyah (kesederhanaan) dalam menguruskan pentadbiran negara.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata teladan kepemimpinan Nabi Muhammad SAW diamalkan bukan saja dalam urusan ibadat, tetapi juga politik ketika mencapai kemenangan paling berkuasa memerintah negaranya yang paling kecil sehinggalah menjadi kuasa besar.

Katanya, masyarakat perlu mengambil iktibar sejarah kemenangan Revolusi di Barat dan Timur, yang dibayangi dendam hingga mengorbankan ramai manusia, pemimpin dan rakyat lemah yang menyokongnya tanpa perhitungan kemanusiaan.

"Kita juga menyaksikan pihak pernah berkuasa tanpa akidah dosa dan pahala tidak mengenang jasa lawannya walaupun sedikit budi baik mereka.

"Rasulullah SAW ialah pilihan Allah untuk menjadi contoh teladan terbaik dalam urusan berpolitik pada masa kalah dan menang di dunia kerana mengajar kemenangan di akhirat yang diimaninya.

"Baginda mengamalkan akhlak paling mulia dan tinggi sehingga dipuji Allah dan meminta umat mengambil teladan serta contoh daripada Baginda SAW," katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Abdul Hadi berkata, Nabi Muhammad SAW mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera dengan mengamalkan sikap sabar, tegas, tidak berdendam serta memaafkan musuh politik.

"Inilah konsep wasatiyyah yang wajib beristiqamah, berbeza dengan Islam liberal yang hanyut dan tidak juga melampau seperti Taliban dan ISIS," katanya.

Abdul Hadi menegaskan tindakan Rasulullah SAW berjaya melaksanakan politik bijak menjadikan Islam berjaya menguasai seluruh Semenanjung Arab, yang ketika itu masih dikuasai jahiliah paling kejam, yang juga didukung dua kuasa besar dunia Parsi di Timur dan Rom di Barat.

Beliau turut memberi contoh teladan Rasulullah SAW termasuk melalui Perjanjian Hudaibiyyah, yang mengarahkan serangan untuk memasuki Makkah dihentikan sehingga rundingan perdamaian mengikut cara Islam.

Katanya, Rasulullah SAW tetap menghormati perjanjian (baiah) dengan musuhnya walaupun ada antara sahabat (pengikutnya) tidak bersetuju.

"Rasulullah SAW berjaya menawan Abu Sufian, pemimpin paling berpengaruh dan menahan Umar bin Al-Khattab daripada membunuhnya, tetapi memujuknya masuk Islam walaupun seperti terpaksa. Pengaruh Abu Sufian yang ditawan dan dipujuk berjaya melemahkan musuh yang masih ada di Makkah.

"Baginda memberi pengampunan beramai-ramai yang diisytiharkan, termasuk kepada mereka yang dikenang jasa bapanya dan keluarganya yang pernah berakhlak mulia dan terhadap mereka yang disenaraikan mesti dihukum," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com