Ikan Lumba-Lumba Dilihat Di Perairan Perlis


KANGAR - Melihat telatah comel ikan lumba-lumba bermain bersama pengunjung adalah satu pengalaman yang begitu mengujakan kerana ikan terbabit begitu sukar untuk dilihat dari dekat.

Kini orang ramai berpeluang melihat ikan lumba-lumba bermain di sekitar perairan Kuala Perlis kerana ketika ini adalah musim ikan terbabit keluar dari habitat asalnya.

Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia Perlis, Ismail Ibrahim berkata, antara spesis yang sering ditemui oleh pihaknya ialah jenis Irrawaddy, Indo Pacific dan Bottlenose.

"Perairan Perlis dan Langkawi adalah laluan domestik yang sering dilalui oleh beberapa spesis ikan lumba-lumba dan kita percaya mereka ini dalam satu kumpulan yang berhijrah serta jinak.

"Tapi kehadiran ikan lumba-lumba ini bukanlah setiap masa kerana pada bulan tertentu sahaja boleh dilihat dengan jelas, malah ia begitu jinak sehingga berani mendekati bot nelayan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Ismail, kehadiran ikan lumba-lumba terbabit boleh ditemui pada sekitar bulan Februari sehingga Jun setiap tahun berdasarkan pola pertemuan oleh pihaknya.

"Pihak kami masih mengkaji bagaimana spesis ikan lumba-lumba ini boleh menjadikan perairan sekitar Kuala Perlis sebagai tempat bermain.


"Berkemungkinan perairan di sekitar Kuala Perlis ini terdapat rumpai laut yang menjadi sumber makanan utama ikan lumba-lumba ini sehinggakan seakan-akan menjadi penghuni tetap di sini," katanya.

Bagaimanapun, Jabatan Perikanan Perlis mengingatkan nelayan dan penangkap ikan yang menggunakan bot supaya berhati-hati sekiranya menerima kehadiran ikan lumba-lumba ini.

"Ikan lumba-lumba adalah spesis terancam dan dilindungi jadi kita meminta nelayan yang membawa bot lebih berhati-hati kerana bimbang berlanggar dengan kumpulan ikan lumba-lumba ini.

"Jika ada nelayan yang tertangkap ikan terbabit, kita sarankan untuk lepaskan kerana ia adalah salah disisi undang-undang," katanya.

Terdahulu satu video berdurasi empat minit 31 saat tular di media sosial Facebook, apabila sekumpulan pencinta haiwan menemui sekawan ikan lumba-lumba yang bermain di sekitar perairan Kuala Perlis.

Malah, ikan lumba-lumba terbabit yang dianggarkan berjumlah hampir 80 ekor turut jinak dan seakan-akan menemani bot kumpulan terbabit apabila mereka melalui perairan terbabit.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com