Hormati Ramadan, Elak Perbuatan Memfitnah- Pemangku Raja Pahang


LIPIS – Umat Islam diingatkan supaya menghormati kehadiran Ramadan dengan tidak membuat fitnah, mencaci dan membuat cerita tidak benar hingga menimbulkan kebencian seterusnya permusuhan sesama sendiri.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, tindakan seperti itu hanya akan merugikan generasi akan datang dan negara.

“Sempena kehadiran Ramadan ini saya ingin mengingatkan diri saya dan umat Islam supaya kita sentiasa bersatu dan tidak mudah berbalah supaya kita dapat tinggal dalam keadaan harmoni, bersatu dan bermuafakat seperti pepatah bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian semasa majlis perasmian Masjid Sungai Koyan, berbuka puasa bersama-sama rakyat serta pengurniaan sumbangan kepada golongan yang memerlukan di sini petang semalam.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Masjid baru dinamakan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah itu bernilai RM4.22 juta dibina dengan peruntukan kerajaan pusat pada 2012 dan mula digunakan pada 26 Mei 2016.

Masjid berkeluasan 1,095 meter persegi itu mampu menampung sekitar 1,200 jemaah pada satu-satu masa.

Tengku Abdullah turut mengingatkan anggota jawatankuasa masjid itu supaya bergerak lebih aktif dengan mempelbagaikan aktiviti kerohanian, pembangunan fizikal dan intelektual bagi menjana kecemerlangan umat Islam.

Baginda juga meminta supaya 3,000 masyarakat di Felda Sungai Koyan 1, 2, dan 3 serta masyarakat Orang Asli beragama Islam berhampiran, supaya memanfaatkan kemudahan dan mengimarahkan masjid baharu tersebut.

“Apa guna masjid gah tetapi kualiti pegawainya masih di takuk lama.

“Saya berkeyakinan tinggi pegawai-pegawai masjid di Pahang mempunyai kesedaran tinggi untuk mengurus masjid sebaik mungkin,” katanya. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com