Hormati Keputusan PRU14, Jangan Cetus Provokasi


KUALA LUMPUR – Polis menasihatkan orang ramai untuk menerima dan menghormati keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) serta tidak menimbulkan provokasi terhadap mana-mana pihak.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim dalam satu kenyataan hari ini meminta orang ramai memberikan kerjasama dengan tidak menularkan sebarang spekulasi atau khabar angin yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

“Pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya.

Mazlan, yang mewakili Polis Kuala Lumpur, mengucapkan jutaan terima kasih atas kerjasama orang ramai dan penyokong parti politik yang mematuhi undang-undang serta arahan pihak polis sepanjang berlangsungnya PRU14 yang telahpun selesai dalam keadaan yang baik serta terkawal.

Pada fasa pasca PRU14 ini, seramai 2,533 pegawai dan anggota polis telah ditempatkan di semua daerah Kuala Lumpur bagi memastikan keadaan keselamatan dan ketenteraman awam pada tahap tertinggi serta tiada sebarang anasir-anasir buruk berlaku, katanya. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com