Henti Peruntukan Untuk ADUN BN, MB Perlu Timbangkannya


JOHOR BAHRU - Menteri Besar yang baharu, Datuk Osman Sapian harus mempertimbangkan semula kenyataan beliau untuk menghentikan peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN).

Ahli Parlimen Simpang Renggam,Dr. Maszlee Malik berkata, amalan itu yang sudah dipraktikkan kerajaan BN sejak zaman-berzaman harus dihentikan.

“Menteri Besar perlu meninggalkan budaya BN dan melakukan transformasi dalam corak pemerintahan negeri demi rakyat Johor. Kerajaan negeri Pakatan Harapan wajib memperkenalkan politik bertaraf kelas dunia yang ‘gentleman’.

“Rakyat mahukan pembaharuan yang menyeluruh dan bukan sekadar pembaharuan daripada segi slogan dan wajah para pemimpin sahaja. Jika kita gagal membawa hasrat rakyat, jangan salahkan rakyat jika mereka menghumbankan kita sepertimana mereka menghumbankan BN beberapa hari yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Semalam, Osman memberitahu, tiada peruntukan kecil pembangunan akan diberikan kepada pembangkang di negeri ini kerana itu adalah hak kerajaan yang memerintah.

Osman berkata, semasa UMNO dan BN memerintah pembangkang juga tidak diberikan sebarang peruntukan.

Maszlee berkata, ketika rakyat memberikan undi dan sokongan kepada Pakatan Harapan untuk memerintah negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang baru sahaja melabuhlan tiranya, itu bukan sekadar menggantikan sebuah parti dengan parti yang lain di tampuk pemerintahan negeri.

“Hasrat rakyat ialah untuk melihat sinar baharu dalam politik tanah air. Generasi muda terutamanya yang menyebabkan tsunami rakyat melanda politik negara sekali gus menghumban jauh BN daripada pemerintahan negeri dan negara berhasrat melihat satu budaya politik yang lebih matang dan demokratik,” ujarnya.

Mereka katanya, inginkan politik yang berintegriti, profesional, amanah dan juga bersikap budiman.

Budaya politik lama BN yang menindas parti pembangkang pada zaman penerintahan mereka katanya, merupakan amalan yang tidak demokratik, tidak adil dan keji.

Jelasnya, peruntukan kepada ADUN-ADUN sepatutnya disalurkan tanpa mengira parti kerana mereka dipilih oleh rakyat melalui saluran demokratik.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com