Hadir Sokong Rakan Berkempen, Lee Chong Wei Dikerumun Peminat


KUALA LUMPUR  - Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei tidak dapat lari dari dikerumuni peminat-peminatnya ketika singgah sebentar di pasar di pekan Rawang bagi memberi sokongan kepada teman rapatnya yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Selayang, Kang Meng Huat.

Menurut laporan The Star, ramai menyedari kelibat Chong Wei apabila beliau disambut oleh Meng Huat yang menjemputnya untuk sarapan pagi bersama.

Kempen menjadi kecoh dengan kehadiran Chong Wei yang didatangi peminat ketika itu yang mengajak beliau untuk berswafoto dan menurunkan autograf.

Chong Wei juga dilihat sempat menyampaikan beberapa poster dan baju BN kepada penyokong yang hadir.

Meng Huat mengakui beliau sangat terharu Chong Wei sanggup hadir untuk meluangkan masa bersama walaupun masing-masing sibuk dengan jadual kerja yang ketat.

“Beliau kawan baik saya dan saya berterima kasih kerana beliau sanggup datang untuk beri sokongan.

“Janji saya kepadanya jika dipilih sebagai ahli Parlimen adalah untuk menggalakkan badminton di Selayang dan mungkin menghasilkan juara dunia dari Selayang,” katanya kepada The Star.

Difahamkan Chong Wei ketika ini sedang sibuk membuat persediaan menghadapi kejohanan Piala Thomas yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand hujung bulan ini.

Sumber: Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com