Guru Harus Kritis Fikiran Berkelas Dunia


KANGAR - Guru atau pendidik harus kritis serta mampu berfikir kelas dunia bagi menjayakan transformasi pendidikan negara, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Titah baginda guru, sebagai agen penting dalam proses tersebut juga harus bersedia berubah melaksanakan tugas ke arah kaedah luar biasa, berdaya tahan dan terkehadapan daripada ibu bapa atau pelajar mereka.

"Transformasi pendidikan adalah berkaitan menganjak kualiti generasi baharu ke arah pemikiran universal dan mengimbangi ilmu, integriti serta akhlak selaras falsafah pendidikan kebangsaan," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Perlis 2018 di Dewan Warisan di sini, malam tadi.

Berangkat sama pada majlis itu Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan dan Pengarah Jabatan Pendidikan Perlis Izmi Ismail.

Menurut baginda pembelajaran abad ke-21 perlu lebih menjurus pada pemikiran aras tinggi berbanding kemahiran asas bagi menghasilkan murid yang berupaya membuat hubung kait, ingin tahu, bijak menyoal, boleh berfikir, berinisiatif dan melakukan perubahan tanpa paksaan.

Pada majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin menyatakan komitmen Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis yang diterajui baginda dalam membantu jabatan Pendidikan Perlis meningkatkan pencapaian pendidikan negeri ini.

Baginda kemudian berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Guru Perlis 2018 kepada pesara guru Zain Othman, 86.

Program tersebut buat julung kalinya dikelolakan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah-sekolah seluruh Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri.- BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com