Gugur Dan Ganti Jika Kerja Tak Memuaskan - PM


KUALA LUMPUR - Ahli Kabinet yang tidak menunjukkan prestasi kerja yang memuaskan boleh digugurkan dan digantikan dengan Ahli Parlimen lain yang lebih layak.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata urusan melantik menteri Kabinet bukan satu tugas mudah dan pastinya tidak akan ada Kabinet yang sempurna serta tidak sunyi daripada kritikan orang ramai.

"Memang tidak ada perfect Cabinet (Kabinet sempurna). Sentiasa ada saja cacat celanya. Kita pilih macam mana pun ada orang tak puas hati. Yang saya pilih ini pun saya tahu ramai yang tak puas hati. Tapi, nak satisfy everybody (puaskan hati setiap orang) pun tak mungkin.

"Jadi, kita akan cuba. Kalau (prestasi) tidak satisfactory (memuaskan), kita kena gugur dan kita pilih lain. Tetapi, kita kena bagi peluang supaya ramai orang baharu masuk (menyandang jawatan dalam Kabinet) dan wanita pula, tuntutan mereka kita kena ambil kira. Jadi, tak mudah mengisi jawatan Kabinet," katanya.

Beliau bercakap kepada wartawan selepas upacara mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia 13 menteri Kabinet di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara.

Dr Mahathir berkata, beliau kini boleh mengadakan mesyuarat Kabinet walaupun masih ada lagi jawatan menteri yang belum diisi.

Beliau berkata, jumlah akhir menteri Kabinet mungkin akan mencecah 28 orang selepas ditambah wakil dari Sabah dan Sarawak.

Diminta mengulas mengenai kritikan sesetengah pihak terhadap pemilihan Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan, Dr Mahathir berkata: "Dia seorang profesor, seorang intelektual dan seorang lulusan bidang agama tetapi bahasa Inggerisnya baik.

"Kita kalau pilih yang lama saja ataupun yang ada 'connection' saja pun tak boleh juga. Kita kena bagi kat orang lain... kita cuba.

"Tapi ramai daripada menteri yang kita pilih tidak ada pengalaman. Jadi, kita kena ada bantuan daripada pakar," tambahnya. - BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com