GST Bantu Rakyat, Kawal Inflasi


KUALA LUMPUR - Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak membebankan, sebaliknya membantu rakyat mendapatkan ketelusan harga barangan dan mengawal inflasi bagi tempoh jangka panjang.

Pengarah Projek Khas Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata GST adalah satu langkah kerajaan memperkenalkan sistem percukaian lebih efektif berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang menyebabkan jumlah cukai sebenar tidak diperjelaskan dan berlaku kutipan yang bertindih serta berulang kali.

"GST adalah cukai di atas perbelanjaan, maka orang tinggi pendapatan akan berbelanja lebih dan sesuai dikenakan cukai kerana berkemampuan, manakala mereka berpendapatan rendah mungkin tidak berbelanja dengan lebih banyak dan tidak perlu terbeban dengan cukai.

"Selain itu, GST juga menggalakkan kepada ketelusan marjin keuntungan peniaga dalam rantaian bekalan seterusnya menjadikan kawalan harga barangan lebih baik," katanya ketika dihubungi Jumaat.


Hasil kutipan GST tahun lalu, merekodkan lebih RM40 bilion dan dikembalikan kepada rakyat menerusi pelbagai projek termasuk menaik taraf infrastruktur dan penambahbaikan sistem pengangkutan awam.

Aimi Zulhazmi berkata, keberkesanan kutipan GST pada masa ini membantu negara memperoleh pendapatan yang sebelum ini gagal dikesan di dalam keuntungan penjual atau pembekal.

"Selain daripada kejatuhan harga minyak, yang dahulunya penyumbang pendapatan utama kepada negara, penggunaan hasil GST secara bijak dapat membangunkan negara, terutama membantu golongan rakyat dari B40 dan M40," katanya.

Beliau berkata, penghapusan GST akan menyebabkan negara mengalami kekurangan pendapatan yang drastik dan usaha untuk mengurangkan defisit perbelanjaan negara menjadi sia-sia.

Pakar ekonomi dari Bank Dunia, Kenneth Simler, ketika ditemui sebelum ini juga berpendapat, Malaysia bakal berdepan tiga kesan buruk jika pelaksanaan GST dimansuhkan kerana akan membebankan rakyat pada masa hadapan.

Beliau dipetik sebagai berkata, tiga kesan berkenaan termasuk kenaikan cukai, meningkatkan kadar hutang negara (defisit) atau terpaksa mengurangkan perbelanjaan untuk kepentingan rakyat dan pembangunan negara.

Sumber: BH Online

1 comment:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com