Gesa Muslim Tidak Bekerja Sepanjang Ramadan


HELSINKI - Penduduk beragama Islam tidak seharusnya bekerja ketika bulan Ramadan kerana tempoh berpuasa selama sebulan mendatangkan bahaya dalam sesetengah kerjaya dan menjadikan amalan itu 'berbahaya untuk kita semua', kata menteri Denmark.

Menteri Integrasi, Inger Stoejberg, anggota tegar kerajaan pakatan haluan tengah kanan Denmark, mempersoalkan amalan itu dalam catatan blog diterbitkan semalam, 'bagaimana pematuhan terhadap tunjang Islam berusia 1,400 tahun bersesuaian dengan tuntutan pasaran buruh zaman moden.'

Dalam tulisan diterbitkan akhbar tabloid Denmark, BT, dilaporkan Associated Press (AP), Stoejberg memetik pemandu bas sebagai contoh pekerja yang mana prestasinya mungkin terjejas akibat tidak makan dan minum pada waktu siang sepanjang bulan puasa.

Beliau menggesa semua penduduk Muslim mengambil cuti bekerja ketika Ramadan 'bagi mengelak kesan negatif untuk seluruh masyarakat Denmark.'

Sehubungan itu, Pengerusi Kesatuan Muslim Wanita Finland, Pia Jardi menyifatkan cadangan menteri terbabit sebagai 'idea yang jelas tidak masuk akal.'

"Tiada maklumat atau statistik menunjukkan, pemandu bas atau pekerja Muslim lain akan berkelakuan berbahaya ketika berpuasa.

"Di kebanyakan negara Islam, kedai dan premis perniagaan beroperasi seperti biasa," kata Jardi.

Katanya, umat Islam yang komited berpuasa juga 'memiliki tanggungjawab untuk memastikan mereka mendapat rehat yang cukup.'

Jutaan umat Islam di seluruh dunia mula menyambut Ramadan minggu lalu. -Agensi

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com