Gerai Bazar Ramadan Rosak Dilanda Ribut Di Sungai Petani


SUNGAI PETANI - Lebih 10 peniaga bazar Ramadan sekitar Taman Keladi dan Taman Sejati di sini, mengalami kerugian selepas gerai jualan teruk dalam kejadian ribut selepas waktu berbuka malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, sebuah gerai di Taman Keladi rosak dihempap pokok besar manakala lebih 10 khemah gerai di Taman Sejati turut diterbangkan angin.

Beberapa peniaga bazar Taman Sejati yang ditemui berkata, angin kuat berserta hujan lebat melanda selepas waktu berbuka ketika peniaga sudah menutup gerai masing-masing manakala ada yang sudah pulang.

Salleh Ayub, 50, sudah pulang ke rumah selepas dimaklumkan seorang rakan banyak khemah gerai di Taman Sejati diterbangkan angin.

"Saya bergegas ke tapak berniaga dan melihat banyak khemah termasuk milik saya terbalik manakala barangan berterabur di tepi jalan.

"Oleh kerana ketika itu hujan lebat, saya tidak dapat membuat apa-apa. Ada lebih 10 gerai rosak akibat ribut malam tadi dan kebanyakan kami mengalami kerugian lebih RM3,000," katanya.


Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Muda, Azhar Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan pokok tumbang di Taman Keladi pada jam 9.07 malam sebelum ke tempat kejadian bersama empat anggota.

"Sebaik tiba, kami mendapati sebatang pokok besar di jalan utama tumbang dan menghempap sebuah Proton Perdana tetapi tiada mangsa terbabit," katanya.

Katanya, kerja pembersihan dilakukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan tindakan segera diambil membantu anggota berkenaan sehingga selesai.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com