Gambar Beribu Hadir Ceramah Pembangkang Palsu - Zambry


SUNGAI SIPUT - Gambar ribuan orang ramai menghadiri ceramah pakatan pembangkang yang tersebar dalam media sosial adalah palsu dan permainan propaganda pembangkang, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau sehubungan itu meminta penyokong Barisan Nasional (BN) tidak gentar dan terpedaya dengan kaedah yang dilakukan pembangkang sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Jangan rasa gentar walaupun kita diasak oleh mereka (pembangkang), mereka menunjukkan kepada kita kononnya mereka mendapat dokongan ramai.

"Tapi semua orang tahu juga ada foto yang dimuat naik itu adalah foto yang dipanggil 'fake photo' (gambar palsu) semata-mata nak tunjukkan propaganda mereka yang 'wow' program mereka dihadiri ribuan orang daripada 5,000 ditambah ke 50,000; 2,000 dikatakan 20,000, 30,000.

"Ini adalah pendekatan propaganda yang sedang dimainkan dan yang paling mustahak kita ahli BN jangan rasa gentar dengan permainan itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program perhimpunan 'Hebatkan Negaraku' yang dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Dewan Konvensyen Sungai Siput di sini, semalam.

Sehubungan itu, Zambry yang juga Pengerusi BN negeri, meminta semua penyokong BN untuk membina semangat rakan mereka bagi memastikan kejayaan sehingga 9 Mei ini.

Beliau berkata, semua penyokong BN harus terus berada di barisan hadapan dan tidak gentar dengan sebarang permainan dan propaganda pembangkang dalam PRU-14 yang hanya berbaki beberapa hari lagi.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com