Gaji Minimum Naik Kalau BN Menang!


KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa membawa khabar gembira untuk warga pekerja khususnya di sektor swasta dengan pengumuman lima ‘hadiah' bagi mengiktiraf dan menghargai sumbangan mereka dalam ekonomi dan pembangunan negara.

Beliau berkata, antaranya ialah kerajaan akan menyediakan peruntukan geran khas sebanyak RM3 juta kepada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sebagai menghargai wala' dan kesetiaan warga pekerja kepada kerajaan dan negara selama ini.

“Pemberian geran khas ini akan dibuat pada tahun ini dan terpulang kepada MTUC bagaimana untuk mengagihkan kepada kesatuan-kesatuan sekerja yang lain,” kata beliau semasa berucap di hadapan ribuan warga pekerja yang menghadiri sambutan Hari Pekerja 2018 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Selasa.

Beliau menekankan bahawa seluruh warga pekerja di sektor awam dan swasta serta majikan dan 742 kesatuan sekerja di seluruh negara adalah ‘darah daging' kepada tanah air ini. 

Mengumumkan hadiah kedua, Najib berkata jika ditakdirkan Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kerajaan akan menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,000 dan RM920 sekarang kepada kadar baharu yang akan diumumkan pada tahun ini juga. 

najib berkata, beliau dimaklumkan bahawa MTUC telah memperjuangkan dasar gaji minimum sejak 1998 namun, tidak diendahkan oleh pemimpin utama kerajaan ketika itu, yang membiarkan nasib pekerja sehingga ada yang bergaji serendah RM400 sebulan.

Dalam masa hanya setahun selepas mengambil alih kepimpinan negara, Najib berkata beliau sendiri telah mengumumkan pelaksanaan Dasar Gaji Minimum Kebangsaan diikuti dengan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 yang seterusnya menyaksikan gaji minimum ditetapkan RM900 bagi Semenanjung Malaysia dan RM800 untuk Sabah dan Sarawak pada 2012.

“Pada tahun lepas, kadar gaji minimum ditingkatkan lagi masing-masing sebanyak 11 peratus dan 15 peratus menjadi RM1,000 di Semenanjung dan RM920 di Sabah dan Sarawak,” kata beliau.

Demi memupuk keluarga bahagia untuk warga pekerja, Najib berkata, kerajaan BN akan memperkenalkan inisiatif khas cuti paterniti mandatori sekurang-kurangnya tiga hari khusus untuk suami yang bekerja di sektor swasta.

Pindaan peruntukan undang-undang bagi melaksanakan inisiatif itu dijangka dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya awal tahun hadapan, kata perdana menteri. - Bernama


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com