Firma Dikait Kontroversi Facebook, Cambridge Analytica 'Gulung Tikar'


LONDON - CAMBRDIGE Analytica, firma yang terbabit dalam kontroversi melibatkan pencerobohan data peribadi Facebook (FB) telah diisytiharkan muflis dan berhenti beroperasi.

Firma itu terpaksa menghentikan operasi kerana terbeban dengan hutang bayaran guaman dan kehilangan pelanggan.

Cambridge Analytica atau SCL Group yang berpangkalan di United Kingdom (UK) dalam satu kenyataan berkata syarikat itu dibelenggu tuduhan tidak berasas (membocorkan data 87 juta pengguna FB) sejak beberapa bulan lepas.

“Liputan media seluruh negara turut menyebabkan pelanggan dan pembekal kami ‘lari’. Justeru itu, kami tidak lagi mampu untuk meneruskan perniagaan kami,” katanya seperti yang dipetik dalam laporan Wall Street Journal.

Susulan pengberhentian operasi firma itu secara rasmi pada Rabu, pekerja diminta untuk menyerahkan komputer mereka.

Lapor Reuters, pegawai data di Britain akan meneruskan siasatan ke atas Cambridge Analytica walaupun sudah ditutup.

“Kami akan terus memantau firma ini untuk mengaudit dan membuat penilitian serta memastikan data pengguna kekal selamat,” katanya.

Terdahulu, Cambridge Analytica pernah membantu Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sewaktu kempen pilihan raya presiden pada 2016.

Dari 87 juta data pengguna FB digunakan firma berkenaan, 1.1 juta daripadanya adalah pengguna di UK.

Sumber: Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com