Feri Pulau Pinang Kini Rapid Ferry


PRASARANA Berhad melalui anak syarikatnya, Syarikat Rapid Ferry Sdn Bhd akan mula mengambil alih operasi Feri Pulau Pinang dari Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) mulai hari ini.

Pengerusi SPPP, Datuk Tan Teik Cheing berkata, perkhidmatan feri ketika ini dikendalikan Penang Port Sdn Bhd (PPSB) mulai 1 Januari 1994, susulan penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang ketika itu.

Katanya, Rapid Ferry sebagai pengendali baharu akan turut mengambil alih semua hartanah milik SPPP di Pangkalan Sultan Abdul Halim dan Pangkalan Raja Tun Uda melalui proses pajakan.

“Selaras keputusan Kerajaan Pusat tahun lalu, feri Pulau Pinang akan diserahkan kepada Prasarana Berhad mulai 1 Mei 2018 dengan operasi hariannya akan dikendalikan kakitangan Rapid Ferry.

“Perjanjian pengambilalihan ini juga menyaksikan semua hartanah SPPP di bawah PPSB akan dipajak kepada pengendali baharu mulai tarikh berkenaan,” katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pengambilalihan Perkhidmatan Feri Pulau Pinang di Georgetown, semalam.

Pada majlis itu, Prasarana Berhad diwakili Ketua Pegawai Kewangannya, Mohd Rafizee Abd Rahman, manakala PPSB diwakili Pengerusinya, Datuk Syed Mohamad Syed Murtaza.

Teik Cheing berkata, berdasarkan persetujuan Ahli Lembaga Pengarah SPPP dan Prasarana Berhad, tambang feri dijangka kekal pada kadar RM7.70 bagi kereta, motosikal (RM2), pejalan kaki (RM1.20) dan pelajar 60 sen.

“Kita menjangkakan perkhidmatan feri bakal mengalami proses transformasi bertujuan menyediakan perkhidmatan lebih cekap, berdaya saing dan mampu memenuhi keperluan pengguna.

“SPPP bagaimanapun, masih kekal berperanan sebagai Pihak Berkuasa Pelabuhan dan Pihak Kawalselia ke atas operasi serta pengendali perkhidmatan selain terus mengendalikan pelabuhan sedia ada,” katanya.

Prasarana Berhad dijangka mengadakan sidang media berasingan pada 5 Mei bagi membentangkan perancangan jangka pendek dan panjang dalam operasi harian Feri Pulau Pinang.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com