Elak Keracunan Makanan, ‘Perhati, Lihat’ Sebelum Membeli


ALOR SETAR – Orang ramai dinasihatkan mengamalkan konsep ‘Perhati dan Lihat’ sebelum membeli, manakala selepas membeli untuk berbuka pula perlu ‘Lihat, Hidu dan Rasa’ bagi mengelak keracunan makanan.

Pengarah Kesihatan Kedah Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, bagaimanapun pegawai serta kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah akan melaksanakan pemantauan berterusan bagi memastikan makanan dan minuman yang dijual di bazar Ramadan di seluruh negeri ini bersih serta selamat.

Beliau berkata langkah menerusi Operasi Ramadan 2018 itu berlangsung sepanjang Ramadan ini selain pemeriksaan di premis pembekal bahan mentah seperti ayam, daging, ikan dan barangan runcit yang telah pun dijalankan sejak dua minggu sebelum ini.

“Matlamat utama operasi ini adalah untuk memastikan makanan yang disediakan atau dijual adalah selamat dan mematuhi kehendak Akta Makanan 1983, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata aktiviti pihaknya sepanjang bulan ini meliputi pemeriksaan premis dan pensampelan makanan di bazar Ramadan dengan tindakan penguatkuasaan akan diambil sekiranya keputusan analisa sampel makanan itu tidak mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

​​​​​​​”Peniaga juga dinasihatkan agar menjaga kebersihan diri semasa mengendalikan makanan seperti berkuku pendek, memakai apron dan menggunakan peralatan yang sesuai.

“Peniaga perlu mendapatkan suntikan antitifoid sebelum mengendalikan makanan serta penggunaan kenderaan perlulah sentiasa bersih bagi mengangkut makanan ke bazar Ramadan,” katanya.

Beliau berkata jika wujud tanda keracunan makanan seperti merasa loya, muntah, cirit birit atau sakit perut hendaklah mendapatkan rawatan di hospital atau klinik berdekatan segera bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Beliau meminta orang ramai menyalurkan sebarang aduan berkaitan di Pejabat Kesihatan Daerah untuk tindakan lanjut. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com