Editor Sarawak Report Kini Di Malaysia


SHAH ALAM - Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dikatakan sudah bebas untuk memasuki negara ini dengan perubahan baharu dalam kerajaan.

Memetik laporan Malaysiakini, Clare tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Menurut wanita itu, ketibaannya di negara ini berjalan lancar.

“Hati saya agak (sambil meletak tapak tangannya di dada) di Imigresen, tetapi semua orang sangat baik seperti biasa.

“Jelas sekali (saya) tidak ada masalah, jadi itu cukup mengagumkan,” katanya.

Clare berkata, dia bercakap dengan beberapa kawan yang memastikan selamat untuknya datang ke Malaysia sekarang.

“Dan sekarang, saya telah diyakinkan bahawa tuduhan itu telah digugurkan, dan Interpol tidak lagi dimaklumkan bahawa Malaysia mahukan ekstradisi saya, jadi saya datang secara sukarela,” katanya.

Menurutnya, dia datang ke Malaysia untuk mengendalikan beberapa perkara peribadi dan berjumpa dengan rakan-rakan.

“Saya di sini bukan atas sebarang kapasiti rasmi.

“Saya yakin semua pimpin anda mempunyai banyak perkara yang lebih penting untuk dilakukan buat masa ini,” katanya.

Clare sebelum ini pernah dituduh sebagai sebahagian daripada konspirasi untuk menggulingkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan pentadbirannya secara yang menyalahi undang-undang.

Pada bulan Ogos 2015, Bukit Aman telah mengeluarkan waran tangkap terhadapnya berkaitan dengan kesalahan-kesalahan yang didakwa dilakukan di bawah Seksyen 124B dan 124I Kanun Keseksaan.

Beliau dikehendaki untuk siasatan atas dakwaan menjalankan kegiatan yang memudaratkan demokrasi berparlimen.

Dia juga dikehendaki untuk siasatan atas dakwaan menerbitkan laporan palsu yang boleh memudaratkan ketenteraman awam.

Semalam dilaporkan bahawa Sarawak Report sudah boleh diakses semula di Malaysia setelah disekat selama lebih daripada dua tahun.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com