Dua Kali Banjir Dalam Seminggu Di Bandar Baharu


BANDAR BAHARU - Penduduk di Kampung Telok Kelian, Telok Sera dan Paya Salak dekat sini bimbang banjir lumpur akan terus melanda kediaman mereka jika tiada tindakan diambil untuk mengatasi masalah itu.

Seorang suri rumah, Salmiah Yaakub, 65, berkata, kejadian banjir berlaku sebanyak dua kali dalam tempoh seminggu dan kali ini adalah terburuk selepas 2006.

“Sebelum ini kawasan ini memang banjir, tapi taklah teruk sangat. Kalau air masuk rumah pun sikit saja.

“Tapi semalam air masuk penuh satu rumah, berserta lumpur. Apa pun kami tak sempat nak selamat.

“Kami tak ada buat persediaan kerana tak jangka nak banjir teruk seperti ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Penduduk Kampung Telok Kelian, Jaafar Omar, 67, berkata, kejadian itu berlaku sepantas kilat kira-kira jam 5 petang.

“Masa itu saya tengah siang ikan dengan isteri di dapur. Bila sedar tengok air sungai tak naik lagi, tapi nampak buah yang saya letak di depan hanyut air hujan.

“Saya masuk ke dalam rumah, pergi ruang tamu terkejut air sudah naik sehingga paras betis. Saya hanya sempat selamat dua motosikal ke tempat tinggi,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu menggusarkan penduduk di kawasan ini terutama ketika hujan lebat.

“Hujan semalam tak sampai dua jam air sudah naik. Kalau berterusan begini kami memang bimbang dan tak sanggup nak tanggung kerugian lagi,” katanya.

Sementara itu, pemangku Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Roslan Ali berkata, kejadian ini berpunca daripada sistem saliran dan perparitan yang tidak diselenggara dengan sempurna.

Tambahnya, pihaknya bersama pejabat Parlimen Kulim-Bandar Baharu juga mengambil langkah membantu mangsa-mangsa banjir.

“Kita telah bantu mereka semalam, termasuk memberi makanan berbuka puasa dan sumbangan barangan makanan asas secara berperingkat,” katanya.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com